Friday, 19 August 2011

Dunia Itu Di tangan Bukan Di hati...oleh Anuar Azemi


Tatkala suatu ketika, seorang raja yang agung memanggil seorang ulama' bagi mengadapnya.
"Wahai orang alim, bisakah kamu memberi satu nasihat kepadaku yang pasti akan terkesan di hatiku ini?" Kata Raja tersebut.
Maka balasnya:
"Aku tidak bisa membuatkan hatimu terkesan dengan kata-kataku melainkan dirimu sendiri yang membuka pintu hatimu. Wahai Tuanku, berapa banyakkah harta-harta Tuanku?"

"Wahai Tuanku, andaikanlah suatu ketika Tuanku sesat di tengah padang pasir yang sangat panas bahangnya, yang pasti tiada satu pun pohon yang dapat Tuanku jadikan tempat teduhan.Tuanku berjalan mencari jalan keluar. Namun Tuanku hilang arah tuju. Tidak tahu lagi dimana untuk menapakkan kaki Tuanku lagi.
"Harta-harta ku ibarat titisan hujan di negeri ini banyaknya, walaupun dimana engkau berada, di situ terdapatnya hartaku. Tidak terbilang banyaknya."Jawab Sang Raja.
Dan tatkala itu, Tuanku berasa tersangat keletihan. Kehausan membuatkan Tuanku terasa untuk menjadikan sekalian laut sebagai minuman. Seakan nyawa berada di hujun badan. Namun Tuanku tidak punya apa-apa. Lalu seorang lelaki datang kepada Tuanku. Di sebelah tangan kanannya ada botol yg berisi air."
Dan Dia berkata pada Tuanku:
" Jika kamu ingin air ini, sudikah kamu untuk menukarkan ia dengan setengah dari hartamu?"
Jadi apa jawab Tuanku?"
Raja itu terus bersuara:
" Sememangnya beta terrpaksa menerimanya, sekiranya itu adalah jalan terakhir bagi beta selain mati begitu sahaja."
Lalu dibalas kembali oleh ulama' tersebut.
"Alhamdulillah, Tuanku bisa menilainya dengan baik. Saya yakin yang Tuanku pasti meminumnya. Tapi bayangkanlah pula wahai Tuanku, tatkala habis air itu tuanku minum, lalu Tuanku berasa ingin membuang air kecil pula.
Namun malangnya. Tuanku tidak boleh berbuat sedemikian. Walaupun dicuba sedayanya, Tuanku tidak juga berjaya. Sememangnya akan rasa keperitan yang teramat sangat tatkala itu. Keperitan yang cukup membuatkan diri Tuanku terasa derita."
Lalu datang pula lelaki yang lain. Dibawanya pula sebotol ubat. Lalu dia berkata kepada Tuanku:
" Wahai Tuanku, ubat ini bisa menyembuhkan penyakit itu. Namun sudikah tuanku menukarnya dengan sekalian harta tuanku?" Apakah jawab Tuanku pula kali ini?, Ulama' itu menyoalnya.
Lalu dijawabnya:
" Sekiranya itu jalan terakhir, dan jika tersangat perit Beta menahannya, maka Beta sanggup."
Ulama' itu tersenyum lalu berkata:
"Tahniah Tuanku, tuanku bisa berfikir dengan baik sekali lagi. Namun Tuanku kini sudah tidak punya apa-apa. Jadi Tuanku renung-renungkanlah. Harta kekayaan itu sebenarnya tidak memberi jaminan bahawa kita akan tetap kaya. Apatah lagi bahagia. Allah itu bisa menjadikan kita miskin walaupun bergunung emas dihadapan kita.
Kerana sekiranya suatu ketika, Keperluan lain datang secara tiba-tiba, dan tatkala Allah mengurangkan sedikit nikmat yang ada pada dirimu, Yang denganya jasadmu akan terseksa. Pasti sekalian harta kamu sanggup menjadi tukarannya. Namun bagaimana sekiranya Tuanku tidak dapat mendapatkan nikmat itu kembali?
Ketika itu, Pasti kita akan merasa. Bahawa orang miskin yang makanannya hanya sehari sesuap sahaja ternyata lebih kaya berbanding kita. Orang yang tinggal di pondok buruk lebih bahagia hatinya. Orang yang tidur beralaskan tikar buruk, lebih nyenyak tidurnya.
Jadi apakah hakikat sebenar harta dunia?"
Marilah bersama mengenal erti qanaah sejenak.
Qanaah ialah kepuasan hati dengan rezeki yang ditentukan Allah. Dikatakan bahawa Allah menentukan lima perkara pada lima tempat iaitu kemuliaan pada ketaatan, kehinaan pada maksiat, kehebatan pada ibadat malam, hikmat kebijaksanaan pada perut yang kosong dan kekayaan pada sifat qanaah.
Qanaah bukanlah bermaksud hilang semangat untuk berkerja lebih keras demi menambah rezeki dan produktiviti.
Malah, ia bertujuan supaya kita sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Jadilah kamu seorang yang warak, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qanaah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati." (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:
"Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan".(Bukhari)

Monday, 15 August 2011

Iftar Hebat; Iftar Bangat; Iftar Cacat....oleh Dr Zainur Rashid Zainuddin


Si A
A menghabiskan kebanyakan waktunya berdakwah di kawasan pendalaman yang sunyi daripada hiruk pikuk dunia sekalipun ketika menempuh bulan Ramadhan. Dia akan berbuka puasa bersama masyarakat di daerah pendalaman samada di kalangan faqir miskin mahupun bersama orang-orang asli. Hebatnya A adalah kerana dia sangat berlumba-lumba di dalam berbuat berkebajikan sebagaimana ada di kalangan rakan-rakannyanya yang berpuasa dan berbuka di kem-kem pelarian Palestin di Gaza dan Lubnan, manakala ada di kalangan sebahagian mereka juga yang berbuka dengan meraikan saudara-saudara baru yang baru memeluk Islam demi mempertautkan persaudaraan Islam yang dibinanya.
Si B
B menggunakan peluang terbaik di bulan Ramadhan kali ini untuk mengerjakan umrah bersama isteri tercinta, berbuka puasa di Masjid Haram dan bersolat jamaah di sana disamping mengerjakan tawaf sebanyak mana yang mungkin bagi mengumpul pelbagai kelebihan yang banyak di sana. Apa tidaknya, bukan mudah untuk ke sini setelah sekian lama mereka menabung untuk ke Tanah Suci. Mereka juga menziarahi Masjid Nabawi dan beriktikaf selama yang mungkin. Terasa bahawa hati mereka begitu tenang dan khusyuk di sepanjang perjalanan berRamadhan d bumi suci tersebut.
Si C
Si C selalunya akan berbuka puasa ringan di masjid berdekatan rumahnya bagi mempastikan bahawa beliau tidak akan terlepas untuk mengerjakan solat maghrib secara berjamaah. Ya, bagi orang lelaki solat terbaiknya adalah di masjid iaitu tempat di mana azan dilaungkan. Isteri C biasanya akan menghantar sebahagian dari juadah berbuka yang disediakan buat para jiran bagi mendapat keberkatan di bulan Ramadhan. Selepas solat C akan menyambung iftarnya bersama keluarga sebelum membawa mereka semua ke masjid untuk bersolat Isya dan tarawih secara berjamaah.


Si D
D akan membeli juadah sebagai persiapan buat iftar sekeluarga di bazaar Ramadhan kerana isterinya juga sibuk seumpamanya. Mereka sekeluarga akan bersolat maghrib secara berjamaah di rumah kerana inilah satu-satunya peluang untuk mereka seisi keluarga bermesra bersama-sama di sepanjang bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan ibadah dan bulan ukhuwah untuk keluarganya.
Si E
E dan keluarganya akan bertawaf di bazaar Ramadhan pada setiap petang di bulan puasa. Mereka kemudiannya akan berkumpul untuk berbuka bersama seisi keluarga dengan pelbagai juadah yang memenuhi meja di dapur. Setiap ahli keluarga ada makanan pilihan masing-masing. Solat maghrib....itu adalah urusan sendiri, yang penting semua mesti puasa dan mesti berbuka sekali di rumah. Bulan puasa adalah peluang untuk bertemu di waktu berbuka.
Si F
F tidak pernah tinggal puasa walaupun jarang bersolat. Dia lebih suka berbuka secara buffet dengan rakan-rakan korporat mahupun kawan-kawan lamanya di hotel mewah. Mereka akan bersembang sambil merokok sepuas-puasnya sehingga jam 10 atau 11 malam sebelum pulang ke rumah untuk tidur. Solat tarawih memang tiada di dalam dairi kehidupannya.
Si G
G merasakan bulan puasa ada kelebihannya yang tertentu. Apa tidaknya, inilah masanya untuk menunjukkan kepada girlfriendnya bahawa dia juga berpuasa. G mengajak girlfriend yang baru dikenalinya memboncengnya ke bazar Ramadhan dengan motor Yamaha yang baru dibelinya beberapa bulan yang lalu. Sengaja dipandunya dengan laju supaya tangan lembut si manja yang berT-shirt pendek lagi nipis itu akan semakin kemas pelukannya.
Si H
H terpaksa masuk ke kedai mamak melalui lorong dan pintu belakang. Jam baru pukul 9 pagi tetapi perutnya yang berkeroncong memaksa G meredahi tindakan berisiko ini. Walaupun dia tahu bahawa ini adalah puasa 'yang-yuk' tetapi G tetap nekad untuk membaham sesuatu sebagai bekalan seharian buat perutnya. Harapnya dia tak tertangkap oleh pihak pencegah maksiat yang pernah mendakwanya di mahkamah syariah pada 2 tahun yang lalu.
Subhanallah wa masya allah, inilah suasana iftar yang berwarna-warni di bumi tercintaku yang bernama Malaysia....
Gaya kita berbuka melambangkan darjat puasa dan Ramadhan kita. Mari kita perhatikan beberapa petikan sabdaan Rasulullah saw bermaksud :
"Ada dua macam kegembiraan bagi orang yang berpuasa, satu macam kegembiraan ialah ketika ia akan berbuka dan yang satunya lagi ialah ketika ia bertemu dengan Tuhannya." ( Hadith riwayat Bukhari & Muslim )
"Sesiapa yang menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka, dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang berpuasa tersebut." (Hadis riwayat Imam Tirmizi).
"Sangatlah banyak orang yang berpuasa, tetapi tidak ada yang diperoleh dari puasanya itu kecuali hanya lapar dan dahaga sahaja." (Hadith riwayat An-Nasa'i dan Ibn Majah)
Semoga Ramadhan kali ini akan lebih bermakna....