Friday, 12 August 2011

Ikhlas....oleh Muhammad Safwan


Ikhlas ialah kedudukan paling tinggi selepas Iman. Ikhlas adalah rahsia Tuhan sehinggakan para malaikat pun tidak tahu dan yang empunya diri pun tidak dapat mengesannya. Ia juga adalah penentu samada amalan diterima atau ditolak.
Terdapat para sahabat yang apabila mendengar tentang ikhlas mereka akan menangis. Mereka berasa tidak selamat dan tidak mungkin dapat memperolehi ikhlas kerana begitu tingginya nilaian untuk mendapat sifat ikhlas.
Islam tidak membenarkan seseorang mengaku ikhlas. Sesiapa yang mengaku ikhlas walaupun sebelum ini ikhlas maka secara automatik keikhlasannya terbatal.
Contoh-contoh yang dikatakan mengaku ikhlas;
Membantu seseorang sambil berkata: 
"Ambillah, saya ikhlas."
Menolong seseorang tapi pertolongannya ditolak,
"Saya tolong awak ini ikhlas tetapi sedih kerana awak menolak."
Dalam menulis surat kita selalu mengakhiri dengan tandatangan,
"Yang Ikhlas."
Tiada sesiapa yang berhak mengaku ikhlas. Cuma berusaha moga-moga jadi ikhlas dan moga-moga diterima Allah.
Erti Ikhlas
Murni, bersih, jenisnya sahaja dan tidak bercampur jenis-jenis yang lain. Tidak dinodai seperti air yang tidak bercampur dengan sabun, tepung kerana apabila sudah bercampur dengan benda lain ia sudah tidak tulen lagi.
Begitulah dalam beramal - solat, zakat, membaca al-Quran, mengajar, berdakwah, menolong, motivasi, forum, ceramah, belajar semuanya semata-mata kerana Allah; kerana suruhan-Nya, kerana keredhaan-Nya, kerana arahan-Nya, kerana mentaati-Nya dan kerana patuh pada-Nya.
Jadi, perkara di atas adalah kerana-Nya yang satu. Tujuannya hanya satu, dan didorong oleh yang satu iaitu Allah. Mengabdikan diri kerana Allah dan tidak dicampur atau bercampur selain Allah. Itulah ikhlas, dorongannya hanya satu.
Sekiranya niat atau dorongannya telah tercampur atau terselit niat-niat yang lain selain Allah seperti riak, megah, glamor, pangkat, takut orang tidak suka, undi, uji kemampuan, hendak berlawan, hendakkan piala, hadiah, kerana kawan - maka keikhlasannya telah ternoda.
Untuk ikhlas, sebenarnya amat susah sekali terutama yang ada kaitan kepentingan umum atau orang ramai yakni yang terdedah kepada pandangan umum seperti berdakwah, mengajar, gotong-royong, forum, upacara memberi hadiah; lebih-lebih lagi orang yang tidak memikirkan hati lalu hati dibiar dan terbiar.
Khususul Nafs
Kepentingan diri seperti ingin popular, disedari atau tidak kerana kurang menyuluh hati. Awal-awal lagi nawaitu (niat) telah rosak seperti membuat rumah di atas lumpur.
Ada tiga jenis kerosakan yang berlaku pada tiga (3) jenis kedudukan:
  •  awal
  •  pertengahan
  •  akhir
Kerosakan awal contohnya seperti berdakwah. Sebelum memberi ceramah, hati kecilnya berkata ;
"Inilah masanya nak jadi popular."
"Aku akan jadi terkenal."
" Dengan ceramah ini dapatlah duit poket."
Ada juga yang berniat untuk menghentam seseorang atau golongan tertentu sebelum berceramah, akibatnya rosaklah ikhlasnya ibarat orang yang melukis di atas air.
Kerosakan pertengahan pula contohnya niat untuk berceramah sudah baik tetapi sewaktu berceramah, ada pendengar yang angguk-angguk atau ada yang menangis kerana mendengar ceramah yang memberi kesan itu hingga hati kecil kita berkata ;
"Hebat juga aku hingga ada orang boleh terima ceramah ini dan ada pula yang menangis."
Kerosakan akhir pula contohnya niat dan sewaktu berceramah tidak ada apa-apa yang rosak, berjalan dengan baik tetapi sewaktu balik dari berceramah ada kawan yang datang bersama di dalam kereta berkata ;
"Hebat betul ceramah ustaz tadi hingga ada yang menangis."
Waktu itu maka datanglah rasa riak hingga lupa semuanya itu datang dari Allah jua. Sepatutnya ia merasa malu kerana ini semua bukan dari dirinya tetapi hakikatnya dari Allah. Orang begitu ibarat membangunkan rumah, tiba-tiba apabila siap sahaja rumah itu runtuh menyembah bumi.
Orang ramai yang mendengar ceramah tersebut juga tidak berubah sebab hati sudah cacat. Mereka memuji kita, tetapi tetap tidak berubah sebab mempunyai rasa riak. Sifat takwa sudah ternafi.
Oleh itu buatlah kerja-kerja dengan penuh tawadhuk, takut dan cemas samada diterima amalan kita atau ditolak.

Wednesday, 10 August 2011

Kekurangan Itu Suatu Kehebatan....oleh Muhammad


"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat-Ku kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" (QS. Ibrahim [14]:7)
Kebiasaannya, bila kita di kurniakannikmat rezeki, kegembiraan mahupun kelebihan, apa yang kita akan lakukan?
Bersyukur! ya, itulah yang seharusnya.
Tetapi, bagaimana pula kalau kita diberikan kekurangan, kecacatan, kemiskinan, kedukaan dan ujian. Berapa ramai yang ingin bersyukur?
Tepuk dada, tanya Iman.
Saya pasti mungkin hanya segelintir di antara kita yang bersyukur apabila menerima ujian. Mungkin dalam 100% hanya 5% yang bersyukur dan berlapang dada apabila menerima ujian.
Beruntunglah bagi mereka yang selalu bersyukur dan sabar. Banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada mereka yang bersyukur dan sabar dengan ujian yang diturunkan.
Fiman Allah:
"Mereka yang sabar dalam musibah, kemiskinan dan ketika peperangan. Merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertakwa - memelihara dirinya dari kejahatan." (QS al-Baqarah : 177)
Saya pasti kalian pernah mendengar kata-kata ini:
"After every storm there is a rainbow"
Jadi, walau apa pun ujian yang diturunkan kuatkan semangat dan azamkan tekad. Yakinlah dengan janji Tuhan.
Biar kita miskin, biar kita buruk, biar kita cacat asal hidup mendapat Berkat.
Fikirkan, setiap kekurangan yang diberikan pasti ada kelebihan yang diberikan. Begitu juga sebaliknya. Setiap kelebihan itu pasti ada kekurangan kerana kita memang diciptakan lemah dan tidak sempurna. Jangan pernah rasa rendah diri dengan kekurangan diri, kerana percayalah, setiap yang Allah kurniakan mempunyai kelebihan dan kelebihan tertentu.
Ingatlah,
Tuhan menciptakan manusia dengan segala kelebihan dan kekurangan. Hikmahnya, agar manusia itu hidup bersama dan tidak mementingkan diri sendiri dengan cara saling lengkap melengkapi. Seperti yang kaya membantu yang miskin, yang sihat membantu yang sakit dan begitulah sebaliknya.
Ingatlah langit tidak selalu cerah dan kita tidak selalu di atas. Janganlah kita mencaci kekurangan seseorang itu kerana mungkin suatu hari kita memerlukan sesuatu yang kita tidak ada daripada orang yang kita pernah hina dulu.
Kekurangan di dalam hidup kita bukanlah pengakhir dan penghujung dunia. Sebaliknya besyukurlah, kerana suatu saat nanti pasti akan datang seseorang melengkapi kekurangan kita dengan kelebihannya. Jangan pernah berputus harap dan teruskan berdoa.
Dan ingatlah,
Setiap kekurangan yang kita miliki, merupakan kelebihan yang tidak ada pada orang lain. Bukan semua orang dapat memiliki kekurangan yang kita ada. Bukankah kekurangan dan ujian itu satu bentuk dan tanda sayangnya Allah kepada kita?
Jadikanlah kekurangan yang kita miliki itu sebagai sumber kekuatan, simbol kehebatan dan bukanlah sesuatu yang menghancurkan. Bersyukurlah dengan setiap kurniaanya. Kebaikan mahupun keburukan.
"Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." [Al Anfaal:46]
Kesimpulannya, marilah kita memanjatkan rasa syukur dengan setiap kurniaan-Nya.

Tuesday, 9 August 2011

Harta: Anugerah atau Amanah?....oleh Ustaz Mohd Azri


Dalam kesibukan dunia masakini dan selok belok kehidupan yang kelihatan lebih tajam likunya, harta kekayaan dan wang ringgit menjadi keperluan dan keutamaan bagi rata-rata manusia. Bahkan sejak dahulu lagi, ini merupakan perkara yang maklum, bezanya hajat dan keperluan kepada wang ringgit sekarang adalah lebih tinggi lagi.
Kita memandang harta kekayaan sebagai satu kelebihan. Oleh sebab itu, sering kita lihat bahawa sesiapa yang mempunyai harta yang lebih, akan dianggap lebih tinggi darjatnya, paling kurang pun akan dipandang tinggi melalui sudut taraf kehidupan. Adakah benar, bahawa mereka yang mempunyai lebih wang dan harta ini, darjatnya lebih tinggi?
Kalau kita lihatkan kepada konsep zuhud sebagaimana yang difahami rata-rata masyarakat, maka harta yang banyak bukanlah suatu kelebihan, malahan golongan kaya lebih dilihat sebagai materialistik. Apa pula definisi materialistik sebenarnya?
Penulis teringat sewaktu kecil dahulu, di dalam artikel majalah 'Lanun' (Ujang versi Islamic), ada rencana yang memetik kata-kata beberapa ulama sufi. Antara yang diingati penulis, "Ibadah orang miskin ibarat syurga dan ibadah orang kaya ibarat taman di atas tong sampah". Sejauh mana kebenaran kata-kata tersebut?
Maka penulis bertanya kepada diri sendiri, bagaimana pula keadaan ibadah Saidina Abu Bakar r.a sahabat karib Nabi Muhammad S.A.W, Saidina Umar r.a, Abdul Rahman ibni 'Auf r.a, Anas bin Malik r.a, yang semuanya merupakan hartawan yang kaya raya tetapi sangat dikasihi Nabi S.A.W. Adakah ibadah-ibadah mereka ibarat taman di atas tong sampah? Sungguh karut sekali bukan?
Oleh itu untuk merungkai persoalan samada mereka yang mempunyai harta lebih tinggi darjatnya di sisi Allah, jawapannya adalah ya dan tidak. Ya jikalau mereka mengendalikan harta tersebut mengikut ajaran Allah dan rasul-Nya, manakala jawapannya adalah tidak jika mereka menggunakan harta dan kekayaan mereka untuk tujuan sebaliknya seperti menyumbang kepada kemaksiatan, perjudian dan lain-lain lagi yang diharamkan dalam Islam. Namun mudah dikatakan bahawa mereka yang mempunyai harta yang lebih sebenarnya adalah mereka yang diberi peluang oleh Allah bagi meraih keredhaan Allah melalui jihad harta.
Pada pandangan penulis, harta adalah AMANAH daripada Allah, amanah yang Dia beri untuk perhatikan bagaimana kita mengendalikannya. Orang-orang yang soleh di sisi Allah, akan memandang harta lebih kepada amanah daripada anugerah, maka mereka akan terasa bebannya, dan beban itulah yang akan mendorongnya mengendalikan harta dengan baik, dan pengurusan harta yang bertepatan dengan kehendak Allah akan berakhir dengan bertambahnya lagi harta, keberkatan dan ketenangan hati.
Di kaca mata penulis, amanah harta itu ada tiga perkara:-
1) Amanah harta yang pertama dan terpenting adalah ZAKAT. Katakan seorang peniaga berjaya mendapatkan wang sebanyak RM20,000 sebulan. Ketahuilah bahawa di dalam RM20,000 ini terselit juga harta orang lain, dan mereka berhak untuk mendapatkannya. Kerana RM20,000 itu bukan semuanya miliknya secara mutlak. Allah yang Maha Adil telah menetapkan jumlah yang perlu dikeluarkan, iaitu lebih kurang 2% sahaja daripada jumlah RM20,000 itu berbanding dengan cukai pendapatan yang jauh lebih tinggi, iaitu sebanyak 30% di negara kita, 50% di Itali, 40% di Sepanyol. Bukankah 2% itu lebih tampak ringan untuk dikeluarkan? Tetapi hairan, kerana masih ramai lagi orang-orang yang berkemampuan tidak menunaikan perkara fardhu yang satu ini.
Semenjak kewafatan Nabi S.A.W, ramai manusia yang enggan membayar zakat. Namun jika kita berfikir dengan lebih matang dan melihat zakat dari sudut yang lebih luas, sebenarnya zakatlah kunci bagi pembangunan ekonomi negara. Kunci utama untuk mencapai status negara maju bukanlah dengan membina bangunan yang tinggi, tetapi kuncinya adalah membasmi kemiskinan! Tanyalah kepada mana-mana pakar ekonomi yang waras berkenaan perkara ini. Zakat pula secara terusnya dapat memberikan harta kepada golongan fakir miskin!
Ketika zaman Umar ibnu Aziz yang diangkat sebagai Khalifah Islam kelima. Pada waktu yang ditetapkan untuk zakat diedarkan, pesuruh Umar r.a menunggu di Baitul Mal bagi mereka yang datang untuk menuntut zakat. Setelah kian lama menunggu, tiada siapa yang datang. Maka mereka bertanya kepada Umar apa yang perlu dilakukan. Umar menyuruh mereka untuk menunggu lagi. Setelah beberapa hari berlalu, masih lagi tiada sesiapa yang datang. Lalu Umar memerintahkan agar mereka membawa harta-harta pembahagian zakat ke keliling kota, dan berikannya kepada sesiapa yang layak.
Yang menariknya, setiap rumah yang mereka pergi untuk mengedarkan zakat tersebut, akan memberikan jawapan yang sama. "Hartaku masih ada lagi, masih cukup untuk perbelanjaan dan makan minum keluargaku". Maka pada akhirnya tiada sesiapa pun yang didapati layak menerima zakat, kerana kemiskinan sama sekali sudah dibasmi!
Inilah hasil positif yang lahir daripada kata-kata Umar ibnu Aziz sendiri, "berikan hak kepada setiap yang mempunyai hak."
Bagi mereka yang mempunyai pendapatan lumayan, keluarkanlah zakat, dan saksikan sendiri bagaimana tenangnya jiwa anda sesudah itu.
2) Amanah yang kedua, adalah AL-INFAQ, iaitu membelanjakan harta yang ada.
i)  Ada di dalam ayat al-Quran yang mengutuk mereka yang bersikap bakhil. Mereka yang bakhil itu merasakan bahawa perbuatan mereka menyimpan harta mereka dan tidak membelanjakannya adalah perbuatan yang baik bagi mereka, tetapi pada hakikatnya ia buruk bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka akan dibalas atas apa yang mereka bakhilkan itu.
ii) Terdapat sepotong hadis di dalam sahih Muslim, yang berbunyi ( antara1 dinar yang engkau belanjakan pada keluargamu, 1 dinar yang engkau sedekahkan pada anak yatim dan 1 dinar yang engkau serahkan pada jalan Allah bagi peperangan, maka 1 dinar yang engkau belanjakan pada keluargamu itu adalah yang paling berkat).
Mengapakah demikian? Ini kerana ahli keluarga kita mempunyai hajat dan keperluan mereka. Mereka perlukan pakaian yang elok, makanan yang baik dan rumah yang selesa untuk mereka tinggal, kenderaan yang baik, isteri perlukan wang bagi perbelanjaan rumah, anak-anak perlukan wang untuk pendidikan mereka, lebih-lebih lagi kos pendidikan masa kini yang semakin mahal, dan sebagainya.
Maka ketahuilah, membelanjakan harta pada kaum keluarga, adalah lebih utama dari sedekah, kerana kaum keluarga kita adalah tanggungjawab kita, dan merupakan amanah dari Allah. Bagaiman kita mahu dikatakan berjihad di jalan Allah tetapi keluarga kita dirumah serba kekurangan?
Bukanlah dikatakan di sini bahawa kita dilarang membuat simpanan, namun utamakan untuk berbelanja keperluan keluarga terlebih dahulu dan sebahagian yang lainnya barulah disimpan bagi kegunaan masa depan.
3) Amanah Allah berkenaan harta yang terakhir, iaitu setelah zakat dikeluarkan, perbelanjaan keluarga sudah dicukupkan, adalah SEDEKAH. Amalan sedekah sudah sangat banyak dibincangkan, oleh itu penulis merasakan tidak lagi perlu dibincangkan di sini.
Sebelum mengundur diri, penulis juga ingin berkongsi tentang definisi materialistik. Penulis tidak merasakan semua orang yang banyak harta itu materialistik, bahkan sifat materialistik itu boleh ada di kalangan orang yang kaya mahupun miskin.
Sibuk membandingkan dirinya dengan orang lain, dan cuba untuk 'menang' dari segi ukuran harta, sibuk bercakap tentang cara-cara mencari duit yang banyak, sibuk mengejar duit, hari demi hari, sibuk membangga diri bahawa hartanya banyak, sibuk membuktikan bahawa dirinya mampu membeli segala-galanya walaupun poketnya kosong, itulah dia sifat materialistik yang sebenarnya. Jikalau menjadi kaya semata-mata dikatakan materialistik, maka batillah hadis Rasulullah S.A.W yang juga merupakan doa kepada Anas bin Malik ra (Alangkah nikmatnya harta yang soleh bagi lelaki yang soleh!)
"ALIF, LAM, MIM. Itulah kitab yang tiada keraguan lagi didalamnya, petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Mereka yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat, dan adalah sebahagian dari apa yang Kami rezekikan kepada mereka, mereka belanjakan.."- Surah Albaqarah.