Showing posts with label Penawar. Show all posts
Showing posts with label Penawar. Show all posts

Saturday, 11 August 2012

Sendiri Itu Terapi....oleh ismi ilhani

Siapa kata sendiri itu tidak bahagia? Tidak menggembirakan? Zahirnya, orang mungkin nampak seseorang yang bersendirian itu menyedihkan kerana kekosongan tanpa ditemani. Namun, pada hakikatnya mereka yang bersendiri itu lebih bahagia sebenarnya.
Bila sendiri, kita mempunyai banyak ruang untuk muhasabah diri. Biarpun sendiri, kita tetap takkan berada dalam relung kesunyian. Kerana dengan bersendiri, kita mampu merasai kehadiranNya di sisi kita. SubhanaAllah! Mampu untuk merasa redup kasihNya yang lagi menenangkan.
Sendiri, mengajar kita untuk memperbaiki diri sendiri tanpa gangguan dan halangan daripada mereka-mereka.
Sendiri itu terapi. Terapi untuk menguatkan iman. Terapi untuk perbaiki hubungan dengan Sang Pencipta. Terapi untuk memperbaiki habluminnanas (hubungan sesama manusia). Terapi untuk membetulkan setiap yang sumbang.
Kerana, dengan bersendiri, seseorang mampu untuk berfikir dengan rasional tentang segala hal duniawi mahupun ukhrawi. Mampu membuatkan seseorang mencari kembali dirinya yang telah hilang. Mampu menilai antara kaca dan permata. Mampu membezakan antara hitam dan putih.
Sendiri itu juga terapi untuk menghapuskan parut-parut dosa yang dilakukan. Apa gunanya berteman seandainya diulit dengan cengkaman dosa? Tentulah hati takkan tenang apabila dosa-dosa tersebut menghantui. Astargfirullahalazim...
Sesungguhnya, sendiri itu terapi yang indah. Terlalu indah bagi mereka yang benar-benar memahami istilah sendiri. Allah SWT ciptakan sendiri itu untuk mengembalikan semula hambaNya yang 'hilang'. Dia biarkan kamu yakni insan yang terpilih untuk bersendiri hanya semata-mata inginkan kamu kembali ke jalanNya. Bukan untuk menghukum kamu. Sebaliknya, untuk menyatakan kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya.
Jadi, janganlah bersedih apabila sendiri. Bersangka baiklah dengan Allah. 
Allah SWT berfirman:
"Aku akan bersama (mengikut) sangkaan hamba-hambaKu. Maka hendaklah kamu bersangka dengan apa yang kamu inginkan" (Hadis Qudsi Riwayat At-Thabrani)
Percayalah, setiap keadaan atau peristiwa itu mempunyai hikmah yang kadangkala dapat kita fikir sendiri (namun kadangkala hikmah itu tidak dapat difikir oleh kita manusia biasa). Ingat, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.
"...boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu."
(Surah al-Baqarah, ayat 216)
Biarlah kita buruk dan hina pada pandangan manusia, namun cantik dan suci pada pandangan Allah SWT :)
Wallahualam...

Wednesday, 10 August 2011

Kekurangan Itu Suatu Kehebatan....oleh Muhammad


"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat-Ku kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" (QS. Ibrahim [14]:7)
Kebiasaannya, bila kita di kurniakannikmat rezeki, kegembiraan mahupun kelebihan, apa yang kita akan lakukan?
Bersyukur! ya, itulah yang seharusnya.
Tetapi, bagaimana pula kalau kita diberikan kekurangan, kecacatan, kemiskinan, kedukaan dan ujian. Berapa ramai yang ingin bersyukur?
Tepuk dada, tanya Iman.
Saya pasti mungkin hanya segelintir di antara kita yang bersyukur apabila menerima ujian. Mungkin dalam 100% hanya 5% yang bersyukur dan berlapang dada apabila menerima ujian.
Beruntunglah bagi mereka yang selalu bersyukur dan sabar. Banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada mereka yang bersyukur dan sabar dengan ujian yang diturunkan.
Fiman Allah:
"Mereka yang sabar dalam musibah, kemiskinan dan ketika peperangan. Merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertakwa - memelihara dirinya dari kejahatan." (QS al-Baqarah : 177)
Saya pasti kalian pernah mendengar kata-kata ini:
"After every storm there is a rainbow"
Jadi, walau apa pun ujian yang diturunkan kuatkan semangat dan azamkan tekad. Yakinlah dengan janji Tuhan.
Biar kita miskin, biar kita buruk, biar kita cacat asal hidup mendapat Berkat.
Fikirkan, setiap kekurangan yang diberikan pasti ada kelebihan yang diberikan. Begitu juga sebaliknya. Setiap kelebihan itu pasti ada kekurangan kerana kita memang diciptakan lemah dan tidak sempurna. Jangan pernah rasa rendah diri dengan kekurangan diri, kerana percayalah, setiap yang Allah kurniakan mempunyai kelebihan dan kelebihan tertentu.
Ingatlah,
Tuhan menciptakan manusia dengan segala kelebihan dan kekurangan. Hikmahnya, agar manusia itu hidup bersama dan tidak mementingkan diri sendiri dengan cara saling lengkap melengkapi. Seperti yang kaya membantu yang miskin, yang sihat membantu yang sakit dan begitulah sebaliknya.
Ingatlah langit tidak selalu cerah dan kita tidak selalu di atas. Janganlah kita mencaci kekurangan seseorang itu kerana mungkin suatu hari kita memerlukan sesuatu yang kita tidak ada daripada orang yang kita pernah hina dulu.
Kekurangan di dalam hidup kita bukanlah pengakhir dan penghujung dunia. Sebaliknya besyukurlah, kerana suatu saat nanti pasti akan datang seseorang melengkapi kekurangan kita dengan kelebihannya. Jangan pernah berputus harap dan teruskan berdoa.
Dan ingatlah,
Setiap kekurangan yang kita miliki, merupakan kelebihan yang tidak ada pada orang lain. Bukan semua orang dapat memiliki kekurangan yang kita ada. Bukankah kekurangan dan ujian itu satu bentuk dan tanda sayangnya Allah kepada kita?
Jadikanlah kekurangan yang kita miliki itu sebagai sumber kekuatan, simbol kehebatan dan bukanlah sesuatu yang menghancurkan. Bersyukurlah dengan setiap kurniaanya. Kebaikan mahupun keburukan.
"Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." [Al Anfaal:46]
Kesimpulannya, marilah kita memanjatkan rasa syukur dengan setiap kurniaan-Nya.

Saturday, 23 July 2011

Kisah Rasulullah dan Buah Limau


"Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya.Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum.
Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu.
Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya."
Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan datangnya dari orang bukan Islam. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa kerana sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya ditewaskan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.
Wallahualam...

Saturday, 28 May 2011

Mustahilkah Untuk Melakukan Perubahan?


Mustahilkah? Susahkah? Pasti jawapannya tidak mustahil.
Tetapi bukankah perubahan itu ada dua jenis iaitu perubahan positif atau perubahan negatif (nauzubillah).
Tiba-tiba terfikir satu persoalan.
Mengapakah untuk melakukan perubahan yang positif itu lebih susah berbanding perubahan ke arah yang lebih negatif?
Adakah kerana diri ini lemah? Lemah untuk melawan godaan syaitan?
"Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk" - Surah Az-Zukhruf 43 : 37
"Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - Surah Az-Zukhruf 43 : 62
Tarik nafas dalam-dalam. Ambil masa, fikir sejenak.
Yang mana lebih kita kejarkan? Perbuahan yang lebih bagus atau yang sebaliknya?
Pastinya yang lebih baik.
Tetapi tidak dapat untuk kita nafikan untuk melakukan perubahan kearah kebaikan ini, jalannya dihiasi dengan ranjau yang peuh berduri, halangan, ejekan, ujian, dan semua ini adalah dugaan.
Kadang-kadang untuk berubah ini penuh dengan bisikan dan desas-desus manusia:
"Eh, kenapa A pakai tudung sekarang ini, bukankah dahulu dia seorang minah rempit, ini mesti tak lama nie!"
"Alhamdulillah, A dah mula berubah insya Allah sentiasa dirahmatinya"
Hendaklah kita sematkan dalam pemikiran kita, janganlah sesekali kita terpengaruh dengan kata-kata negatif terhadap diri kita, kerana andai kata kita terpengaruh dengan kata-kata tersebut, pasti berat kaki ini untuk melangkah ke alam baru, berat lagi hati ini untuk melakukannya.
Percayalah, kita lebih mengenali diri kita dari orang-orang lain, dan Allah lebih mengenali kita dari diri sendiri.
Tidaklah semua perkara itu manis untuk menuju ke syurga, kerana pasti Allah selitkan sedikit ujian untuk kita, bagi menguji diri ini.
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, dan mereka tidak diuji?" - Surah Al-Ankabut 29:2
Apakah definisi perubahan sebenar dalam diri kita? Adakah hanya dari segi fizikal atau hati nurani? Yang mana akan datang dulu?
Sebenarnya, yang mana datang dahulu itu tidak penting, kerana yang lagi penting adalah hasilnya.
Andai kita rasa, perubahan fizikal seperti melabuhkan tudung dan pakaian itu lebih mudah, maka lakukan itu dahulu, kemudian kita melatih hati ini satu persatu, andai kita merasakan hati ini lagi senang untuk dilatih, maka latihlah ia dahulu.
Kerana perubahan itu datangnya dari hati yang ikhlas, yang tulus. Insya Allah.
Mari mulakan langkah kita bersama, kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.
Manusia sentiasa perlukan perubahan kerana iman kita naik dan turun. Jangan biar jalan kita dihiasi dengan futur.




Sunday, 15 May 2011

10 Pembasuh Dosa & Penawar Hati


Hassan al-Basri r.a. berkata: "Ketika saya berkeliling di jalan-jalan kota Bashrah dan di pasarnya dengan seorang pemuda ahli ibadah, tiba-tiba saya melihat seorang tabib yang sedang duduk di atas kerusi."
Dia dikelilingi oleh laki-laki, perempuan dan anak-anak.
Di tangan mereka masing-masing terdapat gelas yang berisi air. Mereka meminta petua dan ubat untuk penyakitnya.
Kemudian, pemuda yang bersamaku maju ke depan tabib, lalu dia berkata:
"Wahai tabib, apakah kamu punya ubat yang mampu membersihkan dosa dan menyembuhkan penyakit hati? "
Kemudian, si tabib itu menjelaskan:
"Ambillah sepuluh macam ramuan: 
  1. Ambillah akar pohon fakir bersama akar-akar pohon tawaddhu' (kerendahan hati),
  2. Campurkanlah padanya tumbuhan taubat,
  3. Taruhlah ke dalam bekas keredhaan,
  4. Tumbuklah dengan penumbuk qana'ah,
  5. Masukkan dalam kuali taqwa,
  6. Lalu tuangkanlah padanya air malu,
  7. Didihkanlah dengan api mahabbah,
  8. Tuangkanlah ke dalam gelas syukur,
  9. Kemudian kipaslah dengan kipas harapan,
  10. Lalu minum dengan sudu pujian.
Sesungguhnya jika kamu mengerjakan hal itu, maka akan menjadi ubat bagimu dari semua penyakit dan bencana di dunia dan di akhirat." - Dipetik daripada Kitab Nashaihul 'Ibad, Imam Nawawi.