Saturday, 18 June 2011

Siapa Yang Cantik?


Siapa yang cantik? Awak cantik? Saya? Atau dia?
Kalau di Bollywood mungkin kata mereka, Aishwarya Rai yang tercantik, atau di Hollywood, Paris Hilton adalah cantik pada pandangan mereka dan mungkin juga di Malaysia, Fasha Sandha yang tercantik.
Siapa agaknya yang dapat memberi definisi dan ciri-ciri tepat tentang apa yang dikatakan sebagai 'cantik'?
Cantik adalah sesuatu yang sangat subjektif. Setiap orang mempunyai definisi kecantikan masing-masing.
Mungkin bagi saya, cantik adalah begitu dan begini, tapi bagi anda, lain pula.
Tiada siapa dapat memberi definisi tepat tentang cantik.
Mata lah yang akan mendefinisi cantik. Namun kini, pada pendapat saya, barat sudah pun mempengaruhi definisi cantik pada dunia dan hampir seluruh dunia memakai definisi cantik barat.
Kadang kala, cantik juga didefinisi mengikut tempat, kaum dan budaya.
Kalau di barat sekarang, the thinner the better, tapi berbeza pula di Mauritania, Africa, the bigger the better.
Orang di barat berperang dengan aneroksia dan bulimia akibat mahu kurus, sebaliknya di Mauritania, wanita mengamalkan 'makan paksa' sejak berumur 5-6 tahun untuk gemuk, agar menjadi cantik dan mudah mendapat jodoh.
Sungguh berbeza kan? Definisi kecantikan yang sungguh berbeza.
Ataupun, ada juga yang sanggup melakukan pelbagai cara yang pada pandangan kita pelik dan tidak masuk akal tetapi pada mereka, itulah cantik!
Satu kaum di Thailand menganggap leher panjang itu cantik, lantas sejak dari umur 5 tahun lagi, mereka sudah dipakaikan gelang logam di leher agar leher mereka akan menjadi semakin panjang dan panjang dan panjang justeru mereka cantik dan mudah mendapat jodoh.
Di Sarawak pula, suku kaum Oran Ulu menganggap telinga panjang itu sangat cantik pada mata mereka, lagi panjang, lagi cantiklah seseorang wanita itu pada pandangan mereka.
Tapi kini, generasi muda sudah tidak lagi mengamalkan amalan ini. (Mungkin sudah terikut-ikut definisi cantik barat..hmmm)
Perlukah jadi cantik?
Di Mexico, kaum wanita menghabiskan separuh dari gaji mereka untuk kecantikan seperti ke salun, malahan ada juga pakej bayar secara ansuran untuk pembedahan plastik.
Atau di Iran, pembedahan hidung sangat popular di sana.
Wanita Iran sanggup berkorban wang ringgit demi mendapatkan hidung yang diidam-idamkan lantaran kata mereka, hidung mereka besar.
Tetapi saya tertanya-tanya juga, bukankah mereka Islam dan Islam melarang pembedahan plastik untuk tujuan kecantikan? Wallahualam.
Bayangkan betapa wanita-wanita ini mahu kelihatan cantik.
Betapa pentingnya menjadi cantik pada seorang wanita itu.
Macam-macam sanggup dikorbankan, wang ringgit, masa, kesakitan yang perlu ditanggung demi cantik, bahkan, hukum agama pun sanggup dilanggar demi cantik.
Tidak kisahlah perbuatan mereka dilarang agama, janji mereka kelihatan cantik. Plastic surgery,Botoxliposuctiongastric bypass sekarang bermain di sekitar hidup wanita demi cantik.
Walaupun mereka sedar akan kesan sampingan perbuatan ini, semua itu ditolak tepi, demi CANTIK.
Innallah jamil, wa yuhibbu jamal: Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.
Kata mereka, apabila diri terasa cantik, barulah mereka ada keyakinan diri.
Saya juga bersetuju dengan ini, tetapi bukanlah sampai sanggup berkorban segalanya demi cantik.
Allah suka akan kecantikan, tetapi bukan lah sehingga mengubah ciptaanNya.
Tambahan lagi, mereka yang ekstrem mahu kelihatan cantik ini, bukanlah mahu kelihatan cantik di mata Allah, tapi di mata manusia. Semuanya dilakukan agar kelihatan cantik pada manusia dan agar mendapat tempat di hati manusia.
Dulu sewaktu kecil, saya juga suka kelihatan cantik.
Kalau baju pink, maka seluruh badan perlu pink termasuklah sepit dan pengikat rambut. Tapi kini, saya bukan perempuan yang obses cantik, kerana pada saya, cantik bukan sekadar di wajah, tapi cantik itu dari akhlak dan keimanannya kepada Pencipta.  
Cantik akan pudar walau cuba dipertahankan, tapi akhlak itu hiasan yang kekal pada diri seorang wanita.
Wanita yang cantik akhlaknya, maka cantiklah luarannya.
Tiada guna mempunyai wajah seindah bidadari kerana satu hari nanti, kita cuma akan menjadi tengkorak yang menakutkan.
Bukanlah tidak perlu menjadi cantik dan perlu mejadi buruk sedangkan Allah menyukai kecantikan, tetapi, biarlah cantik itu kerana Allah, dan definisi cantik itu juga perlu sesuai dengan Islam.
Janganlah sanggup melanggar larangan agama demi kelihatan cantik.
Perbaikilah akhlak diri sekaligus, anda akan kelihatan cantik pada pandangan Allah dan pandangan manusia.
Bersyukurlah dan berpuas hati lah dengan kurniaan Allah kepada kita, dan gunakan ia sebaik-baiknya hanya keranaNya.
Tiada yang lebih indah pada ibu bapa selain anak-anak yang soleh solehah, tiada yang lebih bahagia pada seorang suami selain seorang isteri yang solehah dan tiada yang lebih bernilai pada Allah selain hambaNya yang soleh solehah.


Wednesday, 15 June 2011

Surah Al-Fatihah dan Nombor 7

Setiap muslim sekurang-kurangnya akan membaca surah al-Fatihah sebanyak 17 kali setiap hari. Itu adalah jumlah yang paling minimum. Pengulangan sebanyak 17 kali setiap hari adalah satu kadar pengulangan yang besar namun adakah kita sedari bahawa surah al-Fatihah hanya menggunakan 21 huruf daripada 28 huruf hijaiyyah(huruf-huruf bahasa arab).
Dalam kata lain, sebanyak 7 huruf tiada dalam surah al-Fatihah iaitu huruf Jim, kha', Zai, Syin, Zho' dan Fa'. Sekiranya kita hanya sekadar membaca seperti melepaskan batuk ditangga sudah tentu kita tidak akan menyedari hal ini.Al Imam Syed Mahmud al Alusi rahimahullah menjelaskan di dalam Tafsir Ruh al Ma'ani bahawa 7 huruf hijaiyyah yang tidak digunakan di dalam al-Fatihah adalah menunjukkan kepada kesempurnaan makna al-Fatihah tersebut.
Al Imam al Alusi juga menyatakan bahawa 7 huruf yang digugurkan itu menunjukkan kepada jumlah bilangan ayat dalam surah al-Fatihah iaitu sebanyak 7 ayats ebagaimana yang disepakati oleh para ulama'. Ulama' membahagikan huruf-huruf hijaiyyah kepada 2 jenis huruf iaitu Huruf Nuraniyyah(gemerlapan/kilauan) dan Huruf Zulmaniyyah(kegelapan/kesuraman). Huruf Nuraniyyah sebanyak 14 huruf iaitu Sod, Ra', Alif, Tho', 'Ain, Lam, Ya', Ha'(baca nipis), Qaf, Nun, Mim, Sin, Kaf dan Ha'. Manakala baki 14 huruf lagi merupakan huruf-huruf Zulmaniyyah.Jika diperhatikan secara lebih mendalam, huruf-huruf ini diklasifikasikan pula kepada 3 bahagian iaitu :
a) 14 huruf Nuraniyyah semuanya terdapat di dalam al-Fatihah
b) 7 huruf daripada 14 huruf Zulmaniyyah terdapat dalam al-Fatihah
c) 7 huruf Zulmaniyyah lagi tidak terdapat dalam al-Fatihah.
Al Imam al-Alusi menerangkan tentang 3 pembahagian ini adalah menunjukkan kepada 3 golongan manusia iaitu golongan orang-orang mukmin yang benar-benar beriman dan beramal, golongan orang-orang yang berada antara iman dan maksiat dan golongan orang-orang menzalimi diri mereka sendiri(kafir).
Maksud fiman Allah: "Maka ada diantara mereka yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri(dengan tidak mengendahkan ajaran al-Quran), dan ada yang bersikap sederhana, dan ada diantaranya pula yang mendahului(orang lain) dalam membuat kebajikan dengan izin Allah"
Surah Faatir : ayat 32
*Artikel asal :
http://asshafiee.blogspot.com/2009/09/7-huruf-hijaiyyah-tiada-dalam-surah-al.html
http://hotpowers.blogspot.com/2009/09/7-huruf-tiada-dalam-al-fatihah.html

Tuesday, 14 June 2011

Lapar Rasulullah S.A.W


Muslim dan Tirmidzi telah meriwayatkan dari An-Nu'man bin Basyir ra. dia berkata:
"Bukankah kamu sekarang mewah dari makan dan minum, apa sahaja yang kamu mahu kamu mendapatkannya? Aku pernah melihat Nabi kamu, Muhammad saw hanya mendapat kurma yang buruk sahaja untuk mengisi perutnya!"
Dalam riwayat Muslim pula dari An-Nu'man bin Basyir ra. katanya bahawa:
"Pada suatu ketika Umar ra. menyebut apa yang dinikmati manusia sekarang dari dunia! Maka dia berkata, aku pernah melihat Rasulullah saw seharian menanggung lapar, kerana tidak ada makanan, kemudian tidak ada yang didapatinya pula selain dari kurma yang buruk saja untuk mengisi perutnya."
Suatu riwayat yang diberitakan oleh Abu Nu'aim, Khatib, Ibnu Asakir dan Ibnun-Najjar dari Abu Hurairah ra. dia berkata:
"Aku pernah datang kepada Rasulullah saw ketika dia sedang bersembahyang duduk, maka aku pun bertanya kepadanya: 'Ya Rasulullah saw! Mengapa aku melihatmu bersembahyang duduk, apakah engkau sakit?' Jawab baginda: 'Aku lapar, wahai Abu Hurairah!' Mendengar jawapan baginda itu, aku terus menangis sedih melihatkan keadaan beliau itu. Beliau merasa kasihan melihat aku menangis, lalu berkata: 'Wahai Abu Hurairah! Jangan menangis, kerana beratnya penghisaban nanti di hari kiamat tidak akan menimpa orang yang hidupnya lapar di dunia jika dia menjaga dirinya di kehidupan dunia.' (Kanzul Ummal 4:41)
Bukhari dan Muslim meriwayatkan pula dari Urwah dari Aisyah r.ha. dia berkata:
"Demi Allah, hai anak saudaraku (Urwah anak Asma, saudara perempuan Aisyah), kami senantiasa memandang kepada anak bulan, bulan demi bulan, padahal di rumah-rumah Rasulullah Saw tidak pernah berasap.' Berkata Urwah ra: 'Wahai makcikku, jadi apalah makanan kamu?' Jawab Aisyah r.ha: 'Kurma dan air sahaja, melainkan jika ada tetangga-tetangga Rasulullah Saw dari kaum Ansar yang membawakan buat kami makanan. Dan memanglah kadang-kadang mereka membawakan kami susu, maka kami minum susu itu sebagai makanan'." (At-Targhib Wat-Tarhib 5:155)
Tarmidzi memberitakan dari Masruq, katanya:
"Aku pernah datang menziarahi Aisyah r.ha. lalu dia minta dibawakan untukku makanan, kemudian dia mengeluh: 'Aku mengenangkan masa lamaku dahulu. Aku tidak pernah kenyang dan bila aku ingin menangis, aku menangis sepuas-puasnya!' Tanya Masruq: 'Mengapa begitu, wahai Ummul Mukminin?!' Aisyah r.ha menjawab: 'Aku teringat keadaan di mana Rasulullah saw telah meninggalkan dunia ini! Demi Allah, tidak pernah baginda kenyang dari roti, atau daging dua kali sehari'." (At-Targhib Wat-Tarhib 5:148)
Ibnu Majah dan Baihaqi meriwayatkan pula dari Abu Hurairah ra. katanya:
"Sekali peristiwa ada orang yang membawa makanan panas kepada Rasulullah saw maka beliau pun memakannya. Selesai makan, beliau mengucapkan: 'Alhamdulillah! Inilah makanan panas yang pertama memasuki perutku sejak beberapa hari yang lalu'." (At-Targhib Wat-Tarhib 5:149)
Tirmidzi memberitakan daripada Abu Talhah ra. katanya:
"Sekali peristiwa kami datang mengadukan kelaparan kepada Rasulullah Saw lalu kami mengangkat kain kami, di mana padanya terikat batu demi batu pada perut kami. Maka Rasulullah saw pun mengangkat kainnya, lalu kami lihat pada perut baginda terikat dua batu demi dua batu." (At-Targhib Wat-Tarhib 5:156)
Bukhari dan Ibnu Abid Dunia meriwayatkan dari Aisyah r.ha. dia berkata:
"Bala yang pertama-tama sekali berlaku kepada ummat ini sesudah kepergian Nabi saw ialah kekenyangan perut! Sebab apabila sesuatu kaum kenyang perutnya, gemuk badannya, lalu akan lemahlah hatinya dan akan merajalelalah syahwatnya!" (At-Targhib Wat-Tarhib 3:420).
Muhasabah untuk sama-sama kita renungkan.

alt

Sunday, 12 June 2011

Kelab Orang-orang Pencen?


Di simpang masuk ke Jalan Masjid, berkumpul sekumpulan pemuda. Tiba-tiba datang seorang pakcik.
"Mari anak-anak, jom kita ke masjid solat berjemaah," seru pakcik tersebut.
"Alamak Pakcik ni, kami ni muda lagilah, dah tua nanti kami tahulah pergi masjid sendiri!" jawab seorang pemuda daripada kumpulan tersebut.
Wajah pakcik itu nampak berdukacita. Apa yang mampu dilakukannya, masalah Iman ummat akhir zaman akan bertindak sebegitu.
Masjid Untuk Orang Tua 'Senja'?
Alasan seorang ayah untuk anaknya yang masih kecil, "Budak-budak tak payah pergi masjidlah, lari-lari buat bising je. Buat orang tua sembahyang tak khusyuk! Dahlah, pergi tengok TV lagi bagus."
Alasan seorang ayah untuk anaknya yang meningkat dewasa, "Emm.. Budak ni dah besar dah. Pandailah dia fikir sendiri, kubur masing-masing. Bila hidayah dah sampai nanti, datanglah dia ke masjid tu!".
Waktu kanak-kanak dikatakan membuat bising di dalam masjid, bila dah besar pandai-pandai fikir sendiri pula alasannya. Segelintir ibu bapa seolah-olah lepas tangan tentang soal ibadat anak mereka terutamanya solat berjemaah.
Maka tidak hairanlah masjid lengang dengan golongan muda dan yang ada kebanyakannya adalah dari golongan berumur.
Salah siapa?
Adat Atau Ibadat?
Kebiasaannya, masjid akan diisi oleh golongan tua yang kebanyakan adalah dari 'Kelab Orang-Orang Pencen'. Kebanyakkan mereka menghabiskan masa pencen mereka dengan beribadat kepada Allah dengan solat berjemaah di masjid.
Alhamdulillah, mereka sekurang-kurangnya mempunyai fikiran tentang ibadat mereka berbanding mereka yang masih belum sedar.
Tetapi, adakah ia sebagai satu ibadat atau satu adat? Apakah apabila tiba usia emas, semua orang Islam baru kena banyakkan ibadat? Adakah waktu muda adalah waktu umtuk bersuka ria dan mencari harta?
Terpulanglah apa pun jawapannya, Allah sahaja yang membalasnya.
Kalau Tak Sempat Tua Bagaimana?
Berbalik pada kisah yang awal tadi (kisah seorang pakcik dengan sekumpulan pemuda), terfikirkah anda tentang kenyataan balas pemuda tadi?
"Alamak Pakcik ni, kami ni muda lagilah, dah tua nanti kami tahulah pergi masjid sendiri!"
Kami muda lagi? Adakah sunnah berjemaah di masjid hanya untuk orang tua sahaja? Bagaimana pula jika seseorang itu tak sempat tua?
Jangan fikir kita di usia muda mustahil terlepas dari kematian! Tidakkah kita melihat rakan-rakan kita yang meninggal dunia dalam usia muda?
Mati kemalangan, mati mengejut (selalunya sakit jantung), dan pembunuhan. Adakah itu bukan satu kematian?
Mati tidak kira tua atau muda, jika sudah sampai ajalnya.. semua orang akan merasai kematian.
Apabila mati, hanya amalan sahaja yang kita bawa  menghadap Allah. Bagaimana jika amalan kita tidak banyak? Adakah kita akan menjawab di hadapan Allah, "Aku mati muda Ya Allah. Tak sempat buat amal Kau dah matikan aku". Adakah begitu?
Bangkitlah Wahai Orang Muda
Di antara golongan yang mendapat perlindungan di padang mahsyar ialah pemuda yang hatinya terikat dengan masjid.
Sewaktu rakan-rakan sebaya kita memenuhkan ruang disko di masa azan Maghrib berkumandang, marilah kita memenuhkan rumah-rumah Allah.
Sesungguhnya Allah menyayangi orang yang beribadat, tetapi Allah LEBIH menyayangi orang MUDA yang beribadat.
Golongan muda adalah tiang kepada masyarakat, jika roboh tiang itu maka akan rosaklah masyarakat. Cuba kita bayangkan jika semua orang-orang berumur di masjid itu telah tiada, siapakah yang akan mengimarahkan rumah Allah?
Jangan sampai cicak yang ada di siling masjid itu yang bertasbih kepada Allah bersendiri tanpa kehadiran makhluk Allah yang istimewa bernama manusia!
Koreksi diri di usia muda, mudah-mudahan mendapat bahagia.

alt