Showing posts with label amalan. Show all posts
Showing posts with label amalan. Show all posts

Sunday, 8 April 2012

Tips Mengajar Anak Untuk Solat...oleh hasifah zainuddin

Usaha mengajar anak-anak solat merupakan satu usaha yang berpanjangan dan memerlukan komitmen yang tinggi dari ibu bapa. Ibu bapa perlulah sentiasa bersabar dan terus bersungguh-sungguh sehingga solat menjadi darah daging anak-anak. Usaha ini mestilah dimulakan sejak anak-anak masih kecil bak kata pepatah, lenturlah buluh dari rebungnya.

Anggaplah solat ini satu perkara yang tidak kurang pentingnya berbanding pencapaian-pencapaian lain di dalam hidup anak-anak. Kita mengimpikan anak-anak yang soleh yang bakal mendoakan kita setelah kita meninggal dunia nanti. Jika mereka tidak solat, bilakah masanya mereka akan mendoakan kita.

Di sini dikongsikan tips-tips mengajar anak-anak solat, moga bermanfaat!

Berdoa

Sesungguhnya doa itu senjata orang-orang mukmin, maka untuk mendapat anak yang sentiasa melaksanakan solat , jadikanlah doa-doa sebagai kebiasaan kita. Antara doa yang boleh kita amalkan ialah :

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa."

"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan salat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.."

Bacakan doa ini sentiasa dan biarkan mereka mendengarnya, berdoalah sejak mereka belum lahir sehinggalah mereka sudah dewasa. Moga-moga mereka akan terus istiqamah dengan solat sehinggalah ke akhir hayat mereka.

Membiasakan anak-anak dengan solat
Umur 0-2 tahun

Ketika anak masih kecil, letakkan anak berhampiran dengan tempat kita solat supaya dia melihatkan kita solat sejak kecil

Katakan kepadanya : "Sekejap ya sayang, ibu/ayah nak solat sebentar"

umur 2-4 tahun

Selalu mengajak mereka untuk solat bersama : "Sekarang dah masuk waktu maghrib, Jom kita solat!" Ajak saja, dia mahu mengikut atau tidak itu perkara kedua, yang penting biar mereka terbiasa dengan ajakan kita.

Sediakan tudung kecil untuk anak perempuan, kopiah atau songkok untuk anak lelaki. Pakaikan mereka dengannya dan katakan kepadanya "Wah! Cantiknya adik pakai tudung untuk solat." Mungkin mereka hanya memakainya tidak sampai satu minit, tapi tidak mengapa, senyum sahaja kepada mereka. Ulangi perbuatan ini sehinggalah mereka sendiri yang meminta tudung/kopiah/songkok apabila kita mengajak mereka untuk solat



Berikan pelukan dan ciuman yang paling hangat kepada mereka jika mereka mngikut kita solat. Tidak kisahlah walau berapa rakat sekali pun. Kadang kala, mereka hanya mengangkat takbir kemudian melompat dan pergi bermain, walau sekecil mana perbuatan mereka mengikut kita solat, berikan kata penghargaan seperti : "Solehnya anak ibu hari ni, adik ikut ibu solat!"

Jika anak-anak memanjat kita semasa kita solat, janganlah dimarahi mereka kerana Saidina Hassan dan Hussin juga pernah melakukan perkara yang sama kepada Rasulullah s.a.w sehingga memaksa Rasulullah untuk sujud lebih lama daripada biasa. Apabila ditanya oleh para sahabat, Rasulullah mengatakan bahawa baginda tidak mahu cucu baginda terjatuh andai terus bangun. Namun, pastikan anak-anak kita suci dari najis sebelum kita solat supaya tidak terbatal solat kita terkena najis mereka. Nasihatilah mereka dari hari ke hari dengan penuh hikmah dan lemah lembut.

Jangan sesekali berkata kepada anak : "Pergi main jauh-jauh, ibu/ayah nak solat." Kata-kata demikian dibimbangi akan menjadikan anak-anak menganggap bahawa solat itu mengganggu hubungan mereka dengan ibu bapa mereka.




Mengajar anak solat

Umur 5-6 tahun


· Ajarkan mereka bacaan dan pergerakan solat yang betul. Jika ibu bapa tidak mampu, hantarlah mereka ke Tadika/tempat pengajian yang mengajar anak-anak solat. Solat secara praktikal di sekolah sangat membantu anak-anak belajar solat dengan lebih bersemangat dan gembira.

Praktikal solat yang dibuat di Tadika Nursyifa, sangat membantu anak-anak belajar solat. Yang paling melucukan, anak-anak ini akan berebut untuk menjadi imam, bukti keyakinan mereka untuk menjadi ketua!

· Sesekali ajaklah mereka ke masjid atau surau untuk solat berjemaah, namun ingatkan mereka selalu untuk menjaga adab-adab di rumah Allah.

· Terangkan kepada mereka tentang kefardhuan dan kepentingan solat bagi setiap orang Islam supaya dia solat bukan hanya ikut-ikutan tetapi kerana kefahaman yang betul.

· Ceritakan juga kelebihan dan ganjaran bagi orang-orang yang solat.

· Boleh galakkan mereka solat dengan menonton video-video yang bersesuaian.

· Sediakan carta solat, dan berikan mereka sticker setiap kali mereka berjaya melaksanakan solat. Sentiasa galakkan mereka untuk solat pada setiap waktu.

Contoh carta solat yang boleh dibuat untuk anak-anak, stiker-stiker comel diberikan setiap kali anak-anak berjaya solat.

Kad ucapan tahniah yang pernah saya berikan kepada anak kerana bangun solat subuh di pagi yang dingin.

· Sekali sekala, kejutlah mereka untuk solat subuh, walaupun mungkin mereka akan sujud dan terus tertidur, tidak mengapa, bukankah ini hanya masa untuk mendidik mereka.

· Jika mereka tidak mampu solat subuh pada waktunya, suruhlah mereka solat sebaik sahaja bangun tidur, tidak kisahlah jam berapa, yang penting solat.

· Bagi ibubapa yang bekerja, biasakan bertanya anak : "Adik dah solat?" selain dari pertanyaan kita berkenaan dengan makan, kerja sekolah dan sebagainya sebaik sahaja kita pulang ke rumah. Biar mereka biasa dengan soalan itu dan mereka dapat merasakan betapa pentingnya solat dalam diari kehidupan seorang muslim.

· Jika ibubapa menelefon anak, selain bertanya khabar, tanyakan juga tentang solat mereka.

Bersama memupuk istiqamah

Umur 7-10 tahun

Sebaik sahaja anak menginjak usia tujuh tahun, katakan kepadanya : "Bermula tahun ini, adik sudah tujuh tahun, jadi adik mestilah solat lima kali sehari. Tidak boleh tinggalkan solat lagi, tujuh tahun hingga sembilan tahun merupakan tahun latihan solat untuk adik. Jika adik meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun nanti, ayah dah boleh rotan adik. Jadi adik kena berlatih bersungguh-sungguh ok?"

Pastikan anak-anak solat 5 waktu sehari semalam walau apa jua masalah yang melanda. Jika kita biarkan dia meninggalkan solat walaupun sekali, anak-anak akan merasakan tidak bersalah jika meninggalkan solat.


Nyatakan kepada mereka tentang realiti masyarakat sekarang yang meringan-ringankan solat, tetapi kita tak mahu jadi seperti mereka. Ceritakan tentang kisah-kisah para sahabat dan orang-orang yang hebat kerana menjaga solat mereka.

Sentiasa bercerita tentang ganjaran syurga yang dikurniakan kepada orang-orang yang menjaga solat

Ceritakan juga kepada mereka tentang peranan syaitan yang akan mendatangkan rasa malas untuk solat. Jadi kita kena lawan!

Jika anak bertanya kepada ibu kenapa tidak solat semasa haid, beritahu perkara sebenar, jangan pula katakana kepadanya anda sakit perut. Nanti dia fikir, kalau sakit perut tak payah solat.. Haru dibuatnya!

Mantapkan solat anak-anak dengan mengajar hukum-hukum berkaitan dengan solat seperti rukun-rukun solat, syarat sah solat dan sebagainya, termasuk juga hukum bersuci
Solat tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya maka dia meruntuhkan agama. Sama-sama kita mendidik anak-anak dengan panduan yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan anak-anak akan menjadi saham yang terbaik buat kita di akhirat kelak.

Wallauhua 'lam







Thursday, 2 June 2011

Asas Amalan Dunia Akhirat


Rasulullah s.a.w bersabda : "Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan". (Riwayat Abu ad-Darda' r.a)
Penuntut ilmu agama adalah bakal muballigh (penyampai maklumat) Islam, maka merekalah yang akan menyebarkan agama Allah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepada rasul-Nya. Menuntut ilmu agama adalah tidak tertentu kepada satu-satu golongan sahaja melainkan ia adalah wajib dituntut oleh setiap orang Islam demi menjamin kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat. Kita selaku umat Islam dilarang memperlekehkan golongan alim ulama' dan penuntut ilmu agama ini kerana Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa para malaikat sendiri seluruhnya memberikan penghormatan yang tinggi kepada mereka disebabkan kemuliaan ilmu yang dituntut itu.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : "Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali". (Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darimi)
Ilmu ialah mengetahui tentang sesuatu perkara di mana perkara yang boleh diketahui itu bergantung pada kemampuan dan usaha yang dilakukan oleh seseorang itu. Menuntut ilmu merupakan suatu jihad yang dituntut oleh Islam ke atas setiap penganutnya. Ia menjadikan seseorang itu menduduki martabat yang tinggi berbanding dengan orang yang tidak berilmu. Oleh itu selaku umat Islam kita hendaklah berusaha untuk menambahkan ilmu masing-masing dari semasa ke semasa termasuklah ilmu yang berkaitan dengan Islam kerana darjatnya lebih tinggi di sisi Allah. Malah salah satu daripada petanda ilmu yang berkat itu adalah apabila seseorang itu dengan bertambah ilmunya semakin mulia akhlaknya dan semakin bertakwa dia kepada Allah S.W.T.
لَّـٰكِنِ ٱلرَّٲسِخُونَ فِى ٱلۡعِلۡمِ مِنۡہُمۡ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ يُؤۡمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ‌ۚ وَٱلۡمُقِيمِينَ ٱلصَّلَوٰةَ‌ۚ وَٱلۡمُؤۡتُونَ ٱلزَّڪَوٰةَ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ سَنُؤۡتِيہِمۡ أَجۡرًا عَظِيمًا
Tetapi orang-orang yang teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya di antara mereka dan orang-orang yang beriman, sekaliannya beriman dengan apa yang telah diturunkan kepadamu (Al-Quran) dan kepada apa yang telah diturunkan dahulu daripadamu, khasnya orang-orang yang mendirikan sembahyang dan orang-orang yang menunaikan zakat, serta yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; mereka itulah yang Kami akan berikan kepadanya pahala (balasan) yang amat besar.
(Surah An-Nisa 4: Ayat ke 162)





Monday, 9 May 2011


13.Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah S.W.T. dan menjadi sebab Allah S.W.T. buka pintu rezeki. Nabi S.A.W. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah S.W.T. membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah S.W.T. menyedikitkan baginya." – [Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.]
14.Melazimi solat malam (tahajjud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah S.W.T..
15.Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah S.W.T.dalam hadis qudsi:
"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." – [Riwayat al-Hakim dan Thabrani]
16.Bersyukur kepada Allah S.W.T.
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah S.W.T.. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah S.W.T.berfirman:
"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." – [Ibrahim: 7]
Firman-Nya lagi:
"... dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." – [Ali Imran: 145]

Sunday, 8 May 2011


09.Banyakkan berbuat kebajikan
Ibnu Abbas berkata:
"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."
10.Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah S.A.W., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11.Menjalinkan silaturrahim
Nabi S.A.W. bersabda:
"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." – [Riwayat Bukhari]
12.Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah S.A.W. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah S.W.T.. Baginda S.A.W. bersabda:
"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah S.W.T. akan memurahkan rezeki." – [Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid]

Friday, 6 May 2011


Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda S.A.W. juga bersabda:
"Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah S.W.T.akan memanjangkan umurnya." – [Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim]
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi S.A.W.:
"Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah S.W.T.) daripadanya." – [Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami]
06.Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi S.A.W.:
"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." – [Riwayat Bukhari]
07.Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah S.W.T. lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi S.A.W.:
"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah S.W.T.akan menunaikan hajatnya" – [Riwayat Muslim]
08.Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.