Saturday, 28 May 2011

Mustahilkah Untuk Melakukan Perubahan?


Mustahilkah? Susahkah? Pasti jawapannya tidak mustahil.
Tetapi bukankah perubahan itu ada dua jenis iaitu perubahan positif atau perubahan negatif (nauzubillah).
Tiba-tiba terfikir satu persoalan.
Mengapakah untuk melakukan perubahan yang positif itu lebih susah berbanding perubahan ke arah yang lebih negatif?
Adakah kerana diri ini lemah? Lemah untuk melawan godaan syaitan?
"Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk" - Surah Az-Zukhruf 43 : 37
"Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - Surah Az-Zukhruf 43 : 62
Tarik nafas dalam-dalam. Ambil masa, fikir sejenak.
Yang mana lebih kita kejarkan? Perbuahan yang lebih bagus atau yang sebaliknya?
Pastinya yang lebih baik.
Tetapi tidak dapat untuk kita nafikan untuk melakukan perubahan kearah kebaikan ini, jalannya dihiasi dengan ranjau yang peuh berduri, halangan, ejekan, ujian, dan semua ini adalah dugaan.
Kadang-kadang untuk berubah ini penuh dengan bisikan dan desas-desus manusia:
"Eh, kenapa A pakai tudung sekarang ini, bukankah dahulu dia seorang minah rempit, ini mesti tak lama nie!"
"Alhamdulillah, A dah mula berubah insya Allah sentiasa dirahmatinya"
Hendaklah kita sematkan dalam pemikiran kita, janganlah sesekali kita terpengaruh dengan kata-kata negatif terhadap diri kita, kerana andai kata kita terpengaruh dengan kata-kata tersebut, pasti berat kaki ini untuk melangkah ke alam baru, berat lagi hati ini untuk melakukannya.
Percayalah, kita lebih mengenali diri kita dari orang-orang lain, dan Allah lebih mengenali kita dari diri sendiri.
Tidaklah semua perkara itu manis untuk menuju ke syurga, kerana pasti Allah selitkan sedikit ujian untuk kita, bagi menguji diri ini.
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, dan mereka tidak diuji?" - Surah Al-Ankabut 29:2
Apakah definisi perubahan sebenar dalam diri kita? Adakah hanya dari segi fizikal atau hati nurani? Yang mana akan datang dulu?
Sebenarnya, yang mana datang dahulu itu tidak penting, kerana yang lagi penting adalah hasilnya.
Andai kita rasa, perubahan fizikal seperti melabuhkan tudung dan pakaian itu lebih mudah, maka lakukan itu dahulu, kemudian kita melatih hati ini satu persatu, andai kita merasakan hati ini lagi senang untuk dilatih, maka latihlah ia dahulu.
Kerana perubahan itu datangnya dari hati yang ikhlas, yang tulus. Insya Allah.
Mari mulakan langkah kita bersama, kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.
Manusia sentiasa perlukan perubahan kerana iman kita naik dan turun. Jangan biar jalan kita dihiasi dengan futur.




Friday, 27 May 2011

Buat Golongan Yang Meninggalkan Solat!


Sekiranya kalian haus semasa hayat kalian, kalian boleh meminum rezeki Allah yang enak-enak. Sirap bandung, kopi, sirap... Semuanya kalian boleh teguk untuk menghilangkan dahaga. Tetapi, air manakah yang bisa menjadi asbab untuk menghilangkan dahagamu ketika kalian menghadapi sakaratul maut?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Sungguh cergas kalian berlari ke sini-sana mengejar bola di tengah dan tepi padang. Berapa gelen peluh yang kalian keluarkan untuk tujuan itu? Tidak malukah kalian, kalian mampu berlari ke sini-sana, tetapi tidak mampu untuk menunaikan kewajipan solat yang tidak perlu mengeluarkan bergelen-gelen peluh?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Kalian berasa lapar sekiranya tidak bersarapan, tidak menjamah makanan tengah hari, dan tidak menjamah santapan malam. Tetapi, tidakkah kalian pelik, jiwa kalian kosong daripada santapan rohani, tetapi kalian tidak sedikitpun berasa lapar?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Sedarlah, golongan yang mendirikan solat 5 waktu ditambah dengan amalan-amalan sunat pun tidak dijamin syurga, inikan pula kalian yang meninggalkan kewajipan yang merupakan dosa besar! Tidakkah kalian tahu, tiada pilihan ketiga selepas syurga dan neraka?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Kalian sanggup berjam-jam menghadap facebook, blog, dan youtube, tapi kalian tidak sanggup untuk meluangkan hanya sedikit masa untuk berdamping dengan Pencipta kalian. Tidakkah kalian berasa malu?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Setiap saat Allah SWT mengurniakan nikmat yang tidak terhitung, tidak malukah kita sewenang-wenangnya mengkhianati Pemberi nikmat itu? Adakah terlalu payah untuk memanjatkan kesyukuran dengan bersolat?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Ingatlah, Nabi Muhammad SeAW bersyukur dengan menunaikan solat sehingga kakinya pecah-pecah. Itu Nabi SAW yang telah dijanjikan syurga dan sangat dekat dengan Allah! Bagaimana dengan kita yang rendah dan hina ini? Masih mahu meninggalkan solat?
Jika mata batinmu tidak mampu menangkap dan mencermati secara adil terhadap kemuliaan dan kesempurnaan Allah Maha Pencipta dan tidak mampu mencintai-Nya dengan kecintaan yang hebat, maka janganlah kamu tidak mencintai pemberi nikmat yang berbuat baik kepadamu. Jangan sekali-kali lebih rendah daripada seekor anjing, sebab anjing itu mencintai tuannya yang selalu berbuat baik kepadanya. [Imam al-Ghazali]

Thursday, 26 May 2011

Bertaqwa Kepada Allah SWT



saw bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bersifat taqwa, kaya jiwa serta tidak menonjolkan diri (merendah diri walaupun berpangkat tinggi)". (Riwayat Muslim)
Yang dimaksudkan dengan kaya di sini ialah kaya jiwa bukan kaya harta sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis. Tiga perkara yang apabila dilakukan oleh seseorang maka ia dikasihi oleh Allah S.W.T. ialah bertaqwa, kaya jiwa (berakhlak mulia) dan tidak menonjolkan diri.
Oleh itu setiap umat Islam hendaklah sentiasa memperbaiki dirinya dari masa ke semasa dengan menanamkan tiga sifat tersebut secara berperingkat-peringkat. Islam menyuruh umatnya supaya bertaqwa kepada Allah dan mempunyai sifat-sifat yang mulia dan berbudi bahasa, jangan bersifat sombong, ego dan sebagainya yang boleh menjatuh dan merendahkan mertabat kemuliaan manusia itu sendiri.
يَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡأَنفَالِ‌ۖ قُلِ ٱلۡأَنفَالُ لِلَّهِ وَٱلرَّسُولِ‌ۖ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَأَصۡلِحُواْ ذَاتَ بَيۡنِڪُمۡ‌ۖ وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥۤ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.(Surah Al-Anfal 8: Ayat ke 1)
 alt

Wednesday, 25 May 2011

Manisnya Cinta


Muslimin-muslimat sekalian,
Sudah banyak rasa kecewa menyinggahi jiwa kita.  Sudah tidak terkira kita rasa sedih apabila orang yang kita cintai membuat sesuatu yang tidak kita sukai.  Sudah acap kali kita didatangi keresahan apabila harta yang kita cintai hilang atau berubah hakmilik.  Ya, cinta kepada makhluq pasti mengundang kekecewaan.
Sekiranya cinta dan kasih diletakkan kepada ALLAH melebihi rasa cinta kita kepada makhluqNYA, nescaya kita tidak akan didatangi kecewa.  Sedih yang melanda akan segera terubat apabila cinta kepada ALLAH menguasai jiwa.  Malah, jiwa akan hidup dalam ketenangan dan kemanisan iman akan mula menyerap ke dalam jiwa.
Hadis riwayat Anas radhiAllahu 'anhu, dia berkata bahawa Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Ada tiga hal yang barang siapa mengamalkannya, maka ia dapat menemukan manisnya iman, yaitu orang yang lebih mencintai Allah dan Rasul-Nya daripada yang lain, mencintai orang lain hanya karena Allah, tidak suka kembali ke dalam kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya) sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam neraka." - [Shahih Muslim No.60]
alt

Tuesday, 24 May 2011

Rahsia Disebalik Keindahan Bunga


Setiap ciptaan Allah S.W.T mempunyai rahsia yang tersendiri yang kadang kala tidak diketahui dan tidak terfikir dek akal manusia. Begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan, semuanya terdapat keunikannya yang tersendiri yang tidak sama dengan tumbuhan lain. Antaranya ialah:
Pokok Bunga Tahi Ayam
Pokok bunga tahi ayam atau dengan nama saintifiknya dikenali sebagai Lantana camara tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana tumbuhan ini terkenal dengan baunya yang kurang menyenangkan.
Walau bagaimanapun, bunga tahi ayam boleh dikategorikan sebagai antara tumbuhan yang mempunyai bunga yang cantik dan menawan. Tumbuhan ini biasanya digunakan dalam perubatan herba.
Ekstrak daripada daun Lantana camara ini mengandungi antimicrobial, fungicidal, insecticidal dannematicidal.  Daunnya berkesan untuk mengurangkan bengkak akibat daripada infeksi kuman. Ini disebabkan oleh kandungan turpineol dan furfurol di dalamnya.
Turpineol merupakan sejenis minyak atsiri yang bersifat antiseptik yang boleh membunuh kuman. Manakala furfurol pula bersifat fungsida yang berkesan merawat penyakit kulit yang diakibatkan oleh kulat.
Cara rawatannya ialah dengan menampalkan daun bunga ini yang ditumbuk pada bahagian yang sakit. Selain itu, ia juga digunakan sebagai salah satu bahan untuk mengubati kanser, cacar air, demam campak, asma, ulcers, tekanan darah tinggi dan malaria.
Bunga Raya
Bunga ini dikenali sebagai Bunga Kebangsaan negara yang menjadi lambang kepada negara kita Malaysia. Bunga Raya dengan nama saintifiknya Hibiscus-rossa sinensis tidak ketinggalan dalam menyumbangkan khasiatnya yang tersendiri kepada manusia. Antara khasiatnya ialah :

• Dapat membantu pertumbuhan rambut, mengurangkan kelumumur dan meredakan uban, minyak semulajadi dalam bunga ini amat berguna sebagai pelicin rambut.
• Untuk kulit pula, minyak dari bunga raya baik untuk masalah selulit dan boleh menjadikan kulit berseri.
• Ekstrak bunga raya merah membantu melancarkan kitaran haid. Bunga ini juga berguna dan berkhasiat untuk menghilangkan batuk. Tumbuhan ini mengandungi sejenis lendir atau mucin yang memberikan rasa sejuk pada kerongkong dan rongga paru-paru. Selain itu, bunga raya juga mengandungi hebiscetin, satu bahan yang amat berkesan untuk meredakan batuk dan menghilangkan kahak. Pengidap akan mendapati lendir yang menganggu saluran pernafasannya akan dikeluarkan dalam jumlah yang banyak ketika batuk.
• Tumbuhan ini juga dipercayai dapat melancarkan sistem penghadaman
Cekur
Pokok cekur manis merupakan tumbuhan yang banyak terdapat di ASEAN. Terdapat bahagian pokok cekur manis yang boleh diambil untuk dijadikan makanan. Daun cekur manis sering diambil dan di peram/ jeruk dan dijadikan bahan masakan yang sungguh menyelerakan.
Ia merupakan sejenis tumbuhan herba yang mempunyai daun yang licin, berbentuk tirus, tersusun padat dalam pasangan yang bertentangan. Daunnya mempunyai sedikit aroma. Cekur tidak berbatang, mengeluarkan bunga berwarna putih-ungu. Akar atau rizomnya bercabang-cabang, beraroma dan isinya berwarna kuning oren. Antara khasiat cekur ialah :
• Ia dijadikan tonik untuk mengubati batuk kering dan bronchitis.
• Cekur juga boleh dijadikan losyen untuk merawat sakit mata, sakit tekak, bengkak, demam, sakit, dan sengal tulang.
• Daun cekur dikunyah untuk batuk dan sakit kerongkong
• Akar cekur adakalanya digunakan untuk merawat keracunan makanan, ulser mulut dan selsema.
• Ia juga digunakan untuk sakit kepala
• Rizom cekur digunakan sebagai tonik selepas bersalin bagi mengecutkan rahim, bahan untuk jamu bagi senak perut, membuang angin, sakit sendi serta melancarkan haid.
• Ia juga digunakan untuk melegakan batuk, mengurangkan bengkak dan dibuat bedak untuk merawat jerawat.
• Daunnya yang muda dimakan sebagai ulam atau dibuat kerabu.
• Rizomnya juga digunakan sebagai ramuan masakan.
Meskipun dalam zaman yang serba moden kini, tidak dapat dinafikan ramai yang lebih percaya dengan keberkesanan perubatan moden, namun begitu tidak kurang juga bilangan masyarakat yang masih percaya dengan keberkesanan perubatan tradisional iaitu dengan menggunakan tumbuh-tumbuhan herba(jamu).  
Memang tidak dapat dibandingkan bahawa perubatan modern mahupun perubatan tradisional mujarab 100% kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Semuanya bergantung kepada individu itu sendiri untuk memilih yang terbaik untuk dirinya.
alt

Monday, 23 May 2011

Pelangi Selepas Hujan



Seringkali hati kecil mengadu sakit, seringkali jiwa meratap hiba. Dugaan dan ujian yang bertimpa-timpa, kadangkala menewaskan semangat yang ada.
Kadangkala kita berasa sendirian dan terasa betapa kita dipinggirkan. Ketika kita menyangka sudah tidak ada lagi yang bernilai dalam kehidupan dan yang kita lihat hanyalah jalan suram di hadapan.
Lantas kita marah kepada Tuhan, kita kecewa dengan ketentuan yang diciptakan. Kita menyalahkan takdir hitam dan saat itu sendu airmata mengaburkan kewarasan.
Lalu kita hilang pertimbangan, di antara keimanan dan rasukan syaitan. Kita hanya nampak jalan mudah untuk melepaskan diri, lalu ada yang seringkali memilih kematian sebagai penyelesaian.
Pernahkah sekali kita memahami alam?
Mengapa Tuhan hadirkan pelangi selepas hujan?
Mengapa Tuhan tumbuhkan bunga selepas kering-kontang? 
Hanya daripada benih hitam yang kusam, apabila disirami hujan lantas berbunga cantik. Maka tersenyumlah alam. Betapa indahnya aturan Tuhan.
Mengapa tidak ada hujan berpanjangan atau sinar mentari yang menyinari alam?
Mengapa harus ada putaran alam seperti hitam malam dihiasi bintang?
Mengapa untuk tidak ada sekaligus dalam satu masa?
Mengapa harus hilang sesuatu untuk sesuatu?
Jawabnya senang.
Kerana tidak ada kemanisan tanpa ada kepahitan, dugaan dan rintangan. Mengecapi kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Setiap kesenangan akan ada bayaran. Contohnya Tuhan hadirkan pelangi yang indah dan kicau burung yang menyanyikan kedamaian selepas hujan. 
Biar hujan di dalam hati, pasti ada pelangi yang menanti. InsyaAllah.