Saturday, 16 July 2011

Air Tangan Orang Tak Solat


Semua orang tahu bahawa kalau meninggalkan solat adalah dosa besar, malahan orang yang tidak solat lebih hina daripada khinzir. Betapa hinanya kita kalau meninggalkan solat seperti yang dikisahkan pada zaman Nabi Musa a.s.
Kisahnya, pada zaman Nabi Musa, ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga, dia tiada zuriat, lalu terdetik dalam hati dia (nazar), "Kalau aku dapat anak, aku akan minum air kencing anjing hitam." Nak dijadikan cerita, Allah pun kurniakan isteri si lelaki tadi pun hamil dan melahirkan anak. Apabila dah dapat anak, lelaki ni pun runsinglah. Dia dah nazar nak kena minum air kencing anjing hitam.
Syariat pada zaman Nabi Musa berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Nabi Muhammad. Kalau umat Nabi Muhammad, nazar benda yang haram, maka tak payah buat tapi kena denda (dam) atau sedekah. Tapi kalau zaman Nabi Musa, barang siapa bernazar, walaupun haram tetap kena laksanakan nazar tu. Lalu, si lelaki yang baru mendapat anak, dengan susah hatinya pergilah bertemu dengan Nabi Allah Musa dan menceritakan segala yang terjadi ke atas dirinya. 
Lalu, Nabi Musa menjawab bahawa lelaki tu tak perlu minum air kencing anjing hitam tetapi akan minum air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam. Nabi Musa perintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan minum air tu. Lelaki itu pun senang hati, menjalankan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa tadi.
Lihatlah, betapa hinanya orang yang meninggalkan solat, sampai dikatakan air yang jatuh dari bumbung rumahnya, lebih hina dari air kencing anjing hitam. Itu baru air bumbung rumah, belum air tangan lagi. Menyentuh bab air tangan, selalu kita suka makan masakan ibu atau isteri kita. Jadi, kepada muslimat sekalian, peliharalah solat kerana kalau meninggalkan solat (kalau tak uzur), air tangan akan menitik ke dalam basuhan makanan; nasi, dan sebagainya. Anak-anak, suami pula yang akan makan makanan yang dimasak. Takkan nak biarkan suami dan anak-anak gelap hati minum air tangan orang tinggalkan solat. Tak tergamak kan?
Tapi lain pula halnya dengan kita hari ni. Pagi petang, mamak. Teh tarik satu, roti canai satu. Ada pulak segelintir tukang masak yang tak solat. Kita pun makan bekas air tangan dia. Gelaplah hati kita, sebab tu liat nak buat kerja-kerja yang baik. Hati- hati dengan apa yang kita makan. Betapa beratnya amalan solat ni hatta Allah syariatkan solat kepada Nabi Muhammad melalui Isra' Mikraj sedangkan kewajipan-kewajipan lain memadai diutus melalui Jibril a.s.
Ketika saat Rasulullah nazak, sempat baginda berpesan kepada Saidina Ali (dan untuk umat Islam), "As-solah as Solah wa amalakat aimanukum".  Maksudnya, "Solat, solat jangan sekali kamu abaikan dan peliharalah orang-orang yang lemah di bawah tanggunganmu.."
Wa'allahualam

Monday, 11 July 2011

Relakan Perpisahan Itu


                    Pernahkah kita terasa tiba-tiba sahaja seolah-olah tidak mengenali pasangan kita? Mengapa dia menjadi "manusia lain"? Seakan-akan kita belum pernah mengenalinya walaupun telah berumahtangga sekian lama. Jika kita pernah mengalami perasaan itu, jangan terkejut. Ia adalah perkara biasa. Bukan sesuatu yang luar biasa.
               Itu semua gara-gara warna sebenar (true colours) pasangan kita mula terserlah. Satu demi satu wataknya yang tersirat mula tersurat. Mengikut kajian pakar perkahwinan, hanya setelah usia lima tahun perkahwinan, barulah masing-masing (suami dan isteri) mengeluarkan semua sikap dan perangai mereka yang tersembunyi.
            Pernah kita baca di dada akhbar  bagaimana kelohan seorang isteri yang telah disimbah asid oleh suaminya. Katanya, "setelah tiga bulan berkahwin barulah saya sedar bahawa suami saya sebenarnya seorang yang panas baran." Ironinya, mungkin pasangan itu telah bercinta (berpacaran) tiga tahun sebelum mereka berkahwin. Bayangkan, tiga tahun bercinta tanpa mengenal diri kekasih yang sebenar. Benarlah cinta itu buta.
                   Cinta kerana nafsu memang buta. Kita dikelabui oleh daya tarikan fizikal sehingga tidak   punya mata hati dan akal untuk mengenal siapa yang kita cintai dengan tepat dan betul. Selama tiga tahun bercinta mungkin yang kita 'gunakan' cuma nafsu dan emosi bukan fikiran dan hati. Hasil, setelah tabir perkahwinan mula diangkat, tabir percintaan pun berlabuh. Realiti tidak seindah ilusi. Kenyataan berbeza sungguh daripada impian.
            
               Masa bercinta, warna sebenar – true colours pasangan kita tidak akan ketara. Dia boleh bermuka-muka dan rela mengikut selera, minat dan jalan hidup kita. Dan kita juga rela mengikut segala kehendaknya. Kita dan dia mabuk cinta! Namun semakin lama berumah-tangga, maka semakin ketara kelemahan dan kekurangan. Apakah dia umpama bulan yang dipuja dikejauhan oleh Sang sastrawan tetapi botak dan berlopak di mata seorang angkasawan?
Pada tahap ini, ramai yang mula menyesali diri. Mengapa dia yang ku pilih? Tanpa sedar bahawa pada masa yang sama, dia juga mungkin berbisik mengapa kita yang dipilihnya? Inilah bibit-bibit yang boleh meruntuhkan sebuah rumahtanga. Yang nekad, rela berpatah arang lalu menempuh jalan penceraian. Yang penakut, menunggu dengan resah memendam perasaan,tanpa ada lagi keceriaan.
            Manusia adalah makhluk yang sentiasa berubah. Ia punya hati yang sangat konsisten untuk berbolak-balik. Bila hati berubah, fikiran dan tingkah laku juga akan berubah. Untuk kita mengenal manusia (termasuk pasangan kita) kita terpaksa mengenali perubahan itu. Ah, ini suatu yang sangat sukar. Masakan tidak, untuk mengenal hati sendiripun acapkali kita tidak mampu, inikan pula hati orang. Sukar diduga dan ditebak.
        Akibatnya, ramai orang yang berkahwin dengan orang yang 'tidak dikenalinya'. Bukan rupa zahirnya tetapi wajah batinnya. Disangka permata, rupanya kaca. Cuaca rumah tangga mula berubah. Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengahari. Situasi inilah yang banyak berlaku dalam rumahtangga kini hingga menyebabkan (mengikut kajian) setiap lima belas minit berlaku satu penceraian!