Friday, 10 June 2011

Surat Berantai


Pernah dapat surat atau risalah yang memberi dakwah Islam? Ataupun sekadar peringatan untuk Muslim..
Contoh terbaik!
Surat daripada penjaga makam Rasulullah s.a.w, yang tertidur dan bermimpi didatangi seseorang yang memberi peringatan-peringatan tertentu, khas untuk semua umat Islam.
Kita disuruh untuk fotostat dan mengedarkan risalah itu kepada orang lain. Tidak kira sama ada berbentuk risalah kertas, emel, mesej atau video.
Pernahkan?
Kemudian, di akhir ayatnya terdapat petikan ancaman yang bunyinya lebih kurang begini, "Jika sesiapa yang tidak menyebarkan risalah ini akan ditimpa bala bencana dalam masa 10 hari."
Surat tersebut turut menyertakan contoh peristiwa malang yang berlaku akibat daripada tidak melaksanakan kehendak surat berantai tersebut seperti: Si A pernah dibuang kerja daripada menteri kerana mengendahkan mesej-mesej sebegini.
Apabila Si A menyebarkannya, barulah segala yang hilang dapat kembali.
Surat berantai ini terdapat dalam pelbagai bentuk yang mempunyai pelbagai mesej yang disampaikannya. Terdapat juga di kalangan rakan-rakan saya yang turut terjebak dengan perkara-perkara sebegini. Apabila ditegur, bagi yang menerima dengan baik, terima kasih diucapkan.. tetapi terdapat juga yang mempunyai pelbagai alasan untuk menuruti kehendak surat tersebut. Contohnya ;
"Ala.. Aku sebarkan pasal Islam ini.. Ade pengajaran apa.."
"Laaa.. Takpela.. Aku saja je hantar.."
"Eh, nanti tak pasal-pasal aku kena bala pula"
Dan pelbagai lagi..
Jadi, di sini saya ingin berkongsi dengan anda semua mengenai perkara ini. Pandangan dari saya sendiri, dan juga dari apa yang saya baca dalam majalah-majalah Islamik.
Faktor Pertama
Jika kita tengok pada isi surat itu sendiri. Contoh, mengenai mimpi dari seorang penjaga makam Rasulullah s.a.w, Sheikh Ahmad Maeine.
Siapakah dia?
Benarkah dia memang wujud?
Atau sekadar watak yang direka sahaja?
Namun, jika betul tidak mengapa..
Tetapi perlulah disertakan dengan bukti sekali..
Sedangkan hadis-hadis yang sering kita dengar, pasti akan disertakan siapakah periwayatnya.
Malah, berkaitan dengan "bukti" yang menyatakan seseorang yang tidak menjalankan "amanah" tersebut ditimpa bala bencana tidak mempunyai sebarang bukti sahih dan jelas.
Faktor Kedua
Umat Islam langsung tidak pernah dipaksa untuk menyebarkan ilmu. Namun, kita digalakkan. Tetapi andai tidak menjalankannya tidak akan berdosa atau ditimpa bala bencana. Allah tidak pernah menyatakan hal yang sedemikian.
Cuba kita fikir..
Besar sangatkah kuasa surat itu? Malah, memaksa kita menyebarkan info dari surat itu. Sedangkan Rasulullah hanya menggalakkan kita menyebarkan ilmu, bukan memaksa. 
Faktor Ketiga
Allah itu Maha Berkuasa. Tiada apa-apa pun yang lebih berkuasa selain Dia. Itu kita sudah tahu bukan?
Mengenai hal ini pula, seperti yang tertera dalam surat itu, kita akan ditimpa bala jika tidak menyebarkannya dan akan diberi kebahagiaan jikia kita menyebarkannya.
Wow. Sungguh besar kuasa surat itu. Sehingga kuasanya setanding dengan kuasa Allah. Biar benar? Sungguh hebat.
Secara tidak langsung, seseorang yang menuruti perintah surat ini, sekaligus sudah terjebak dengan Syirik. Pengertian syirik mengikut buku teks Pendidikan Islam tingkatan 4.
"Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah."
Seseorang itu telah percaya, bahawa nasibnya selepas itu bergantung kepada surat itu. Jika dia tidak menyebarkannya, maka nahaslah dia ditimpa bala nanti. Jadi, dia mahu mendapat berkat atau kebahagiaan. Maka dia telah melakukan syirik.
Segala apa yang kita dapat, terima, alami, takdir dan nasib, segalanya terletak pada kekuasaan Allah. Bukan pada sehelai kertas, sepucuk surat atau mesej atau emel yang diterima.
Faktor Keempat
Namun, tidak dinafikan ada juga yang tidak mengetahui sehingga ke tahap ini sekali perkara ini boleh terjadi. Ada yang hanya ingin menyebarkan bagi sekadar suka-suka.
Tiada niat kerana percaya dengan surat itu. TETAPI, anda jangan lupa. Kepada siapa anda sebarkan itu? Siapa tahu, ada yang percaya nanti? Dosanya itu, akan sampai kepada anda juga kerana menyebarkan.
Kita perlu ingat, jika kita menyebarkan sesuatu ilmu yang bermanfaat, selama mana ilmu itu disebarkan selama itulah kita mendapat pahala untuk hal itu. Jadi, memang untung. Syukur.
Namun, perkara yang sama akan terjadi jika kita mengajar perkara negatif juga. Selagi ajaran negatif itu tidak dihentikan, selagi itulah kita akan berdosa. Jadi, hati-hati ya?
Contoh yang menakutkan,
Qabil, manusia pertama yang membunuh manusia, iaitu membunuh Habil. Bayangkanlah, sehingga sekarang masih ada pembunuhan. Bagaimanalah azab beliau di dalam kubur? Sudah berapa tahun beliau meninggal?
Diseksa sehingga Hari Kiamat dan dosa membunuhnya pula bertambah-tambah hari demi hari. Wallahualam. Moga Allah meringankan azab baginya.
Kesimpulannya,
Jika anda mendapat emel, surat, risalah atau mesej sebegini, bacalah dahulu, dan cukuplah sekadar mengambil peringatan dari isi kandungannya. Tidak perlu menyebarkan mengenai bala-bala yang akan dialami sekiranya mengendahkannya.
Khabarkanlah kepada rakan-rakan anda mengenai perkara surat berantai ini. Segala kesan mengenai surat sebegini.
Sehingga di sini sahaja saya ingin mencoretkan sedikit peringatan kali ini. Sekian. Maafkan saya jika informasi yang diberikan tidak lengkap atau tidak tepat. Yang baik datang dari Allah, yang buruk dari kesilapan diri saya sendiri..
Assalamualaikum.

Sombong Tidak Membuatkan Anda Mulia


Ramai orang yang sombong dengan pangkat, kekayaan, glamour, kelebihan, harta dan sebagainya.
Ingatlah, Barangsiapa yang membuat amalan dengan sombong, Allah akan membuka keaiban dan kekurangan dari amalan tersebut (maksud Hadith Muslim)
Hari ini, kita dipuji oleh orang lain, kita disanjung oleh orang lain, kita di puja oleh orang lain bukan kerana kehebatan kita, Kita dipuji oleh orang lain kerana Allah menutup keaiban kita. Jika Allah membuka keaiban kita, tidak ada lagi kemuliaan di sisi manusia.
Oleh itu, jangan sombong dengan apa yang kita ada. Tawadhuklah, kerana orang yang tawadhuk kerana Allah akan diangkat darjatnya di mata manusia (maksud hadith at-Tarmizi)
Design Oleh: Syauqi Osman
وَلَا تَمۡشِ فِى ٱلۡأَرۡضِ مَرَحًا‌ۖ إِنَّكَ لَن تَخۡرِقَ ٱلۡأَرۡضَ وَلَن تَبۡلُغَ ٱلۡجِبَالَ طُولاً۬
Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.
(Surah Al-Isra' 17 : Ayat 37) 

Thursday, 9 June 2011

Letakkan Malu Pada Perkara Mungkar


Tidak sempurna iman seseorang tanpa ada rasa malu dalam diri. Betapa pentingnya perasaan malu ini sehingga ia termasuk dalam pembahagian iman. Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud: "Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman."
Ketahuilah, malu adalah sifat utama bagi orang-orang Mukmin yang mana menjadi perisai dan benteng dalam hidup mereka. Perisai itu sangat penting iaitu dapat menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam dan juga menghalang daripada mengikut hawa nafsu sehingga merosakkan akidah.
Sedar tak sedar, umat Islam hari ini ramai yang sudah hilang sifat malu dalam diri. Apabila melihat peningkatan kadar jenayah, perlakuan maksiat dan sebagainya yang dilakukan terang-terangan, ia cukup menunjukkan sifat malu itu telah pun terhakis daripada norma kehidupan apatah lagi hukum syariat. Asalnya, fitrah manusia ini ada sifat malu namun kerana lemahnya iman dan terpengaruh dengan bisikan syaitan, akhirnya mereka tewas dan mendedahkan aib malu dengan sendiri.
Dari segi pemakaian usah dibicarakan, begitu juga pergaulan. Ia sudah cukup membuatkan ramai yang geleng kepala. Pengaruh luar terutamanya dari barat cukup kuat mempengaruhi minda dan jiwa manusia sehingga mampu mencampakkan rasa malu sejauh-jauhnya. Saat itu, apabila perasaan tidak malu mendominasi dalam diri, maka berleluasalah aktiviti dosa dan maksiat sehingga merasakan ia tidak lagi menjadi satu kesalahan. Masyarakat sekeliling juga hanya memandangnya sebelah mata. Apa lagi yang mampu dilakukan sekiranya kesedaran sendiri tidak ada.


Wednesday, 8 June 2011

Mari Kita Makan Untuk Hidup


BARU-BARU ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa bimbang dengan masalah kegemukan atau obesiti di kalangan pelajar sekolah. Beliau berkata, perkara itu antara yang dibangkitkan Kementerian Kesihatan.
Katanya, "Ia menjadi isu kerana ia melibatkan anak kecil yang masih bersekolah tetapi gemuk kerana faktor pemakanan. Mereka banyak makan makanan ringan. Ini menyebabkan mereka tidak cergas dan tidak sihat," katanya pada majlisProgram Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Negeri Sarawak baru-baru ini.
Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata, "Mulai sekarang, indeks jisim badan (BMI) setiap pelajar akan direkodkan di dalam kad laporan prestasi oleh guru untuk perhatian ibu bapa. Arahan serta-merta itu dibuat oleh kerajaan dalam usaha menangani peningkatan masalah berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan rakyat."
Wah! Nampaknya kita kian sedar mengenai obesiti yang menyerang rakyat Malaysia dan langkah-langkah pencegahan sedang bermula di peringkat sekolah. Ini satu langkah yang baik. Namun, seharusnya tindakan ini diambil perhatian oleh kita yang sudah tidak bersekolah. Bukankah kita adalah tergolong di kalangan mereka yang berpotensi untuk menjadi gemuk atau pun sudah cukup gedempol?
Obesiti berlaku apabila seseorang mengambil lebih banyak kalori daripada yang sepatutnya. Dan tubuhnya tidak sempat membakar kalori agar indeks jisim badan seimbang kembali dengan ketinggian tubuh. Faktor-faktor lain seperti genetik, usia, jantina, kesan sampingan ubat-ubatan dan penyakit juga boleh menjadikan seseorang itu obes.
Namun, faktor yang menjadi penyumbang obes ini berkait rapat dengan tabiat makan kita. Sedari kecil, kita dilatih untuk menghabiskan makanan yang diceduk ke pinggan. Di zaman kanak-kanak juga, kita sememangnya mempunyai sikap tamak dan tidak pandai menganggar kadar makanan yang diambil. Apabila kita mengelak untuk menghabiskan makanan, emak akan mengingatkan kita agar menghabiskannya kerana tidak baik membazir makanan. Padahal, bukankah permulaan mengelak pembaziran adalah dengan mengambil makanan mengikut keperluan? Namun, emak tidak menekankan itu kerana tidak mahu menyekat selera anaknya.
Apabila dewasa, kita masih tidak pandai untuk mengambil makanan yang cukup-cukup buat mengisi perut. Kerana itu, ramai di antara kita akan mengambil makanan berlebih-lebihan, tidak kira sama ada makanan itu percuma ketika menghadiri mana-mana majlis, mahupun jika kita memilihnya di restoran. Perhatikan banyaknya sisa-sisa makanan yang terbuang di restoran-restoran atau di mana-mana majlis.
Restoran-restoran yang menyediakan makanan yang bergoreng juga lebih banyak daripada restoran-restoran yang menghidangkan makanan yang dikukus atau dibakar. Oleh kerana menyediakan makanan yang bergoreng itu lebih mudah dan lebih cepat serta membuka nafsu makan, maka kebanyakan restoran lebih suka menyediakan hidangan yang bergoreng. Goreng tentulah dengan minyak, dan minyak adalah punca kolesterol.
Ada juga restoran yang gemar menyediakan makanan yang berlebih-lebihan untuk para pelanggannya. Pinggan yang besar, lauk-pauk yang banyak serta gelas minuman yang sekaki tingginya dijadikan konsep restoran. Padahal, ramai di antara kita bukannya jenis yang makan banyak. Namun, oleh kerana makanan telah terhidang dan rasa rugi tidak menghabiskan makanan yang tersaji, maka kita memaksa diri untuk melicinkan pinggan.
Makan dengan lahap juga sudah menjadi gaya makan sebilangan daripada kita. Pengaruh iklan yang menayangkan kegelojohan makan untuk menggambarkan kesedapan sebenarnya sudah lari daripada adab makan kita. Hari ini, kita biasa melihat mereka di restoran yang menyumbat tiga empat batang kentang goreng sekali gus ke mulut. Bukan sebatang demi sebatang mengikut adab sopan kita. Mereka membuka mulut besar-besar untuk mengunyah burger. Bukannya menggigit sedikit demi sedikit. Mereka makan begitu kerana terpengaruh dengan iklan.
Sepatutnya, kita perlu mengunyah makanan perlahan-lahan dan lebih lama sebelum menelannya. Makanan yang hancur lebih mampat apabila sampai ke perut. Ini akan menyegerakan otak menghantar mesej yang kita sudah kenyang. Sebaliknya, mengunyah makanan dan menelannya dengan segera menimbulkan lompang-lompang udara di perut. Rasa kenyang akan lambat dirasa. Justeru kita akan menyumbat dan menyumbat lagi makanan ke mulut hingga mengah sebelum berhenti. Ketika itu, semuanya sudah terlambat.
Kita mungkin tidak sedar yang kini, kita hidup untuk makan, dan bukannya makan untuk hidup. Agar kita kembali kepada amalan makan untuk hidup, mungkin kita kena percaya yang kita hanya perlu separuh daripada apa yang kita makan.
Dari Jabir bin Abdillah r.a, beliau menyatakan bahwa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, "Makan satu orang itu cukup untuk dua orang. Makanan dua orang itu cukup untuk empat orang. Makanan empat orang itu cukup untuk delapan orang." (HR Muslim).
Apakah hadis di atas juga membawa maksud, makanan untuk setengah orang itu cukup untuk seorang?

Tuesday, 7 June 2011

Rahsia Sujud


Persatuan Islam Kebangsaan Malaysia (MICNA) Jordan mengenal pasti sesiapa yang tidak menunaikan sembahyang maka otaknya tidak dapat menerima darah secukupnya untuk berfungsi secara sempurna.
Jurucakap MICNA Jordan berkata, ini bererti darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan ketika seseorang itu sujud ketika solat.
Di dalam Majalah Buletin Bulanan MICNA, jurucakap persatuan ini membuat kenyataan bahawa;
"Darah akan memasuki bahagian urat tersebut mengikut kadar solat yang telah diwajibkan oleh Islam".
Ini diakui sendiri oleh seorang doktor neurologi di Amerika Syarikat yang telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban di dalam penyelidikannya itu. Doktor tersebut mendapati dalam kajiannya urat pada saraf manusia memerlukan darah untuk beberapa sukatan tertentu sahaja.
Doktor neurologi tersebut tertarik untuk memeluk Islam semasa membuat kajian saraf yang dilakukan, iaitu terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia tidak dimasuki darah walaupun sepatutnya setiap inci otak manusia memerlukan darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal.
Kini doktor tersebut memeluk Islam dan beliau telah membuka sebuah klinik yang bertemakan "Perubatan melalui- Al-Quran". Beliau juga membuat ubat-ubatan berdasarkan kajian melalui Al-Quran dan Hadis Nabawi. Di antara kaedah yang digunakan termasuklahberpuasa, madu lebah, biji hitam (black Seed).
Manusia yang tidak bersembahyang apatah lagi yang bukan Islam, walaupun akal mereka berfungsi secara normal tetapi sebenarnya mereka akan hilang pertimbangan apabila membuat keputusan secara normal.
Justeru itu, tidak hairan ada di antara manusia kadang-kadang tidak segan silu untuk melakukan perkara bertentangan dengan fitrah kejadiannya walaupun akal mereka mengetahui perkara yang akan dilakukan adalah salah.
"Ini kerana otak mereka tidak boleh mempertimbangkannya secara normal."

Monday, 6 June 2011

Tiada Yang Kekal Di dunia Ini


Manusia tinggal di dunia hanya untuk waktu yang singkat. Di sini, ia akan diuji, dilatih, kemudian meninggalkan dunia menuju kehidupan akhirat di mana ia akan tinggal selamanya. Harta benda serta kesenangan di dunia, walaupun diciptakan serupa dengan yang ada di akhirat, sebenarnya memiliki banyak kekurangan dan kelemahan karena harta benda dan kesenangan tersebut ditujukan hanya agar manusia mengingat hari akhirat.
Akan tetapi, orang yang ingkar tidak akan mampu memahami kenyataan ini sehingga mereka berperilaku seakan-akan segala sesuatu di dunia ini miliknya. Hal ini memperdaya mereka karena semua kesenangan di dunia ini bersifat sementara dan tidak sempurna, tidak mampu memuaskan manusia yang diciptakan untuk keindahan kesempurnaan abadi, yaitu Allah. Allah menjelaskan betapa dunia merupakan tempat sementara yang penuh dengan kekurangan.
Siapa dapat menunjukkan suatu benda dari dunia ini yang tidak akan musnah? Tentunya tiada. Semuanya pernah musnah, sedang musnah dan akan musnah.
Photo by: REUTERS/Marco Dormino/Minustah/Handout (HAITI)
RNPS IMAGES OF THE YEAR 2008 An aerial view of floods caused by Tropical Storm Hanna is seen in Gonaives September 3, 2008. Haiti's civil protection office said 37 of the 90 Hanna-related deaths had occurred in the port city of Gonaives, where floodwaters appeared to be receding.
ٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَا لَعِبٌ۬ وَلَهۡوٌ۬ وَزِينَةٌ۬ وَتَفَاخُرُۢ بَيۡنَكُمۡ وَتَكَاثُرٌ۬ فِى ٱلۡأَمۡوَٲلِ وَٱلۡأَوۡلَـٰدِ‌ۖ كَمَثَلِ غَيۡثٍ أَعۡجَبَ ٱلۡكُفَّارَ نَبَاتُهُ ۥ ثُمَّ يَہِيجُ فَتَرَٮٰهُ مُصۡفَرًّ۬ا ثُمَّ يَكُونُ حُطَـٰمً۬ا‌ۖ وَفِى ٱلۡأَخِرَةِ عَذَابٌ۬ شَدِيدٌ۬ وَمَغۡفِرَةٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضۡوَٲنٌ۬‌ۚ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلۡغُرُورِ
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
(Surah Al-Hadid 57: Ayat 20)