Si A
A menghabiskan kebanyakan waktunya berdakwah di kawasan pendalaman yang sunyi daripada hiruk pikuk dunia sekalipun ketika menempuh bulan Ramadhan. Dia akan berbuka puasa bersama masyarakat di daerah pendalaman samada di kalangan faqir miskin mahupun bersama orang-orang asli. Hebatnya A adalah kerana dia sangat berlumba-lumba di dalam berbuat berkebajikan sebagaimana ada di kalangan rakan-rakannyanya yang berpuasa dan berbuka di kem-kem pelarian Palestin di Gaza dan Lubnan, manakala ada di kalangan sebahagian mereka juga yang berbuka dengan meraikan saudara-saudara baru yang baru memeluk Islam demi mempertautkan persaudaraan Islam yang dibinanya.
Si B
B menggunakan peluang terbaik di bulan Ramadhan kali ini untuk mengerjakan umrah bersama isteri tercinta, berbuka puasa di Masjid Haram dan bersolat jamaah di sana disamping mengerjakan tawaf sebanyak mana yang mungkin bagi mengumpul pelbagai kelebihan yang banyak di sana. Apa tidaknya, bukan mudah untuk ke sini setelah sekian lama mereka menabung untuk ke Tanah Suci. Mereka juga menziarahi Masjid Nabawi dan beriktikaf selama yang mungkin. Terasa bahawa hati mereka begitu tenang dan khusyuk di sepanjang perjalanan berRamadhan d bumi suci tersebut.
Si C
Si C selalunya akan berbuka puasa ringan di masjid berdekatan rumahnya bagi mempastikan bahawa beliau tidak akan terlepas untuk mengerjakan solat maghrib secara berjamaah. Ya, bagi orang lelaki solat terbaiknya adalah di masjid iaitu tempat di mana azan dilaungkan. Isteri C biasanya akan menghantar sebahagian dari juadah berbuka yang disediakan buat para jiran bagi mendapat keberkatan di bulan Ramadhan. Selepas solat C akan menyambung iftarnya bersama keluarga sebelum membawa mereka semua ke masjid untuk bersolat Isya dan tarawih secara berjamaah.Si D
D akan membeli juadah sebagai persiapan buat iftar sekeluarga di bazaar Ramadhan kerana isterinya juga sibuk seumpamanya. Mereka sekeluarga akan bersolat maghrib secara berjamaah di rumah kerana inilah satu-satunya peluang untuk mereka seisi keluarga bermesra bersama-sama di sepanjang bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan ibadah dan bulan ukhuwah untuk keluarganya.
Si E
E dan keluarganya akan bertawaf di bazaar Ramadhan pada setiap petang di bulan puasa. Mereka kemudiannya akan berkumpul untuk berbuka bersama seisi keluarga dengan pelbagai juadah yang memenuhi meja di dapur. Setiap ahli keluarga ada makanan pilihan masing-masing. Solat maghrib....itu adalah urusan sendiri, yang penting semua mesti puasa dan mesti berbuka sekali di rumah. Bulan puasa adalah peluang untuk bertemu di waktu berbuka.
Si F
F tidak pernah tinggal puasa walaupun jarang bersolat. Dia lebih suka berbuka secara buffet dengan rakan-rakan korporat mahupun kawan-kawan lamanya di hotel mewah. Mereka akan bersembang sambil merokok sepuas-puasnya sehingga jam 10 atau 11 malam sebelum pulang ke rumah untuk tidur. Solat tarawih memang tiada di dalam dairi kehidupannya.
Si G
G merasakan bulan puasa ada kelebihannya yang tertentu. Apa tidaknya, inilah masanya untuk menunjukkan kepada girlfriendnya bahawa dia juga berpuasa. G mengajak girlfriend yang baru dikenalinya memboncengnya ke bazar Ramadhan dengan motor Yamaha yang baru dibelinya beberapa bulan yang lalu. Sengaja dipandunya dengan laju supaya tangan lembut si manja yang berT-shirt pendek lagi nipis itu akan semakin kemas pelukannya.
Si H
H terpaksa masuk ke kedai mamak melalui lorong dan pintu belakang. Jam baru pukul 9 pagi tetapi perutnya yang berkeroncong memaksa G meredahi tindakan berisiko ini. Walaupun dia tahu bahawa ini adalah puasa 'yang-yuk' tetapi G tetap nekad untuk membaham sesuatu sebagai bekalan seharian buat perutnya. Harapnya dia tak tertangkap oleh pihak pencegah maksiat yang pernah mendakwanya di mahkamah syariah pada 2 tahun yang lalu.
Subhanallah wa masya allah, inilah suasana iftar yang berwarna-warni di bumi tercintaku yang bernama Malaysia....
Gaya kita berbuka melambangkan darjat puasa dan Ramadhan kita. Mari kita perhatikan beberapa petikan sabdaan Rasulullah saw bermaksud :
"Ada dua macam kegembiraan bagi orang yang berpuasa, satu macam kegembiraan ialah ketika ia akan berbuka dan yang satunya lagi ialah ketika ia bertemu dengan Tuhannya." ( Hadith riwayat Bukhari & Muslim )
"Sesiapa yang menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka, dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang berpuasa tersebut." (Hadis riwayat Imam Tirmizi).
"Sangatlah banyak orang yang berpuasa, tetapi tidak ada yang diperoleh dari puasanya itu kecuali hanya lapar dan dahaga sahaja." (Hadith riwayat An-Nasa'i dan Ibn Majah)
Semoga Ramadhan kali ini akan lebih bermakna....
No comments:
Post a Comment