Saturday, 28 May 2011

Mustahilkah Untuk Melakukan Perubahan?


Mustahilkah? Susahkah? Pasti jawapannya tidak mustahil.
Tetapi bukankah perubahan itu ada dua jenis iaitu perubahan positif atau perubahan negatif (nauzubillah).
Tiba-tiba terfikir satu persoalan.
Mengapakah untuk melakukan perubahan yang positif itu lebih susah berbanding perubahan ke arah yang lebih negatif?
Adakah kerana diri ini lemah? Lemah untuk melawan godaan syaitan?
"Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk" - Surah Az-Zukhruf 43 : 37
"Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - Surah Az-Zukhruf 43 : 62
Tarik nafas dalam-dalam. Ambil masa, fikir sejenak.
Yang mana lebih kita kejarkan? Perbuahan yang lebih bagus atau yang sebaliknya?
Pastinya yang lebih baik.
Tetapi tidak dapat untuk kita nafikan untuk melakukan perubahan kearah kebaikan ini, jalannya dihiasi dengan ranjau yang peuh berduri, halangan, ejekan, ujian, dan semua ini adalah dugaan.
Kadang-kadang untuk berubah ini penuh dengan bisikan dan desas-desus manusia:
"Eh, kenapa A pakai tudung sekarang ini, bukankah dahulu dia seorang minah rempit, ini mesti tak lama nie!"
"Alhamdulillah, A dah mula berubah insya Allah sentiasa dirahmatinya"
Hendaklah kita sematkan dalam pemikiran kita, janganlah sesekali kita terpengaruh dengan kata-kata negatif terhadap diri kita, kerana andai kata kita terpengaruh dengan kata-kata tersebut, pasti berat kaki ini untuk melangkah ke alam baru, berat lagi hati ini untuk melakukannya.
Percayalah, kita lebih mengenali diri kita dari orang-orang lain, dan Allah lebih mengenali kita dari diri sendiri.
Tidaklah semua perkara itu manis untuk menuju ke syurga, kerana pasti Allah selitkan sedikit ujian untuk kita, bagi menguji diri ini.
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, dan mereka tidak diuji?" - Surah Al-Ankabut 29:2
Apakah definisi perubahan sebenar dalam diri kita? Adakah hanya dari segi fizikal atau hati nurani? Yang mana akan datang dulu?
Sebenarnya, yang mana datang dahulu itu tidak penting, kerana yang lagi penting adalah hasilnya.
Andai kita rasa, perubahan fizikal seperti melabuhkan tudung dan pakaian itu lebih mudah, maka lakukan itu dahulu, kemudian kita melatih hati ini satu persatu, andai kita merasakan hati ini lagi senang untuk dilatih, maka latihlah ia dahulu.
Kerana perubahan itu datangnya dari hati yang ikhlas, yang tulus. Insya Allah.
Mari mulakan langkah kita bersama, kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.
Manusia sentiasa perlukan perubahan kerana iman kita naik dan turun. Jangan biar jalan kita dihiasi dengan futur.




Friday, 27 May 2011

Buat Golongan Yang Meninggalkan Solat!


Sekiranya kalian haus semasa hayat kalian, kalian boleh meminum rezeki Allah yang enak-enak. Sirap bandung, kopi, sirap... Semuanya kalian boleh teguk untuk menghilangkan dahaga. Tetapi, air manakah yang bisa menjadi asbab untuk menghilangkan dahagamu ketika kalian menghadapi sakaratul maut?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Sungguh cergas kalian berlari ke sini-sana mengejar bola di tengah dan tepi padang. Berapa gelen peluh yang kalian keluarkan untuk tujuan itu? Tidak malukah kalian, kalian mampu berlari ke sini-sana, tetapi tidak mampu untuk menunaikan kewajipan solat yang tidak perlu mengeluarkan bergelen-gelen peluh?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Kalian berasa lapar sekiranya tidak bersarapan, tidak menjamah makanan tengah hari, dan tidak menjamah santapan malam. Tetapi, tidakkah kalian pelik, jiwa kalian kosong daripada santapan rohani, tetapi kalian tidak sedikitpun berasa lapar?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Sedarlah, golongan yang mendirikan solat 5 waktu ditambah dengan amalan-amalan sunat pun tidak dijamin syurga, inikan pula kalian yang meninggalkan kewajipan yang merupakan dosa besar! Tidakkah kalian tahu, tiada pilihan ketiga selepas syurga dan neraka?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Kalian sanggup berjam-jam menghadap facebook, blog, dan youtube, tapi kalian tidak sanggup untuk meluangkan hanya sedikit masa untuk berdamping dengan Pencipta kalian. Tidakkah kalian berasa malu?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Setiap saat Allah SWT mengurniakan nikmat yang tidak terhitung, tidak malukah kita sewenang-wenangnya mengkhianati Pemberi nikmat itu? Adakah terlalu payah untuk memanjatkan kesyukuran dengan bersolat?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Ingatlah, Nabi Muhammad SeAW bersyukur dengan menunaikan solat sehingga kakinya pecah-pecah. Itu Nabi SAW yang telah dijanjikan syurga dan sangat dekat dengan Allah! Bagaimana dengan kita yang rendah dan hina ini? Masih mahu meninggalkan solat?
Jika mata batinmu tidak mampu menangkap dan mencermati secara adil terhadap kemuliaan dan kesempurnaan Allah Maha Pencipta dan tidak mampu mencintai-Nya dengan kecintaan yang hebat, maka janganlah kamu tidak mencintai pemberi nikmat yang berbuat baik kepadamu. Jangan sekali-kali lebih rendah daripada seekor anjing, sebab anjing itu mencintai tuannya yang selalu berbuat baik kepadanya. [Imam al-Ghazali]