Friday, 28 October 2011

Nasihat Emak vs Nasihat Boyfriend.....oleh dalila hanim


Senario hari ini, ramai perempuan yang ada kekasih hati ataupun yang ada jejaka idaman lebih suka dengar nasihat kekasih hati mereka daripada mendengar nasihat ibu sendiri.
Sedar tidak sedar umur sudah meningkat. Kehidupan yang selama ini ditanggung oleh ibu bapa makin dilupai.
Hadir pula insan baru dalam hidup. Kekasih yang disayangi dan dicintai sepenuh hati.
Ketika itu mulalah lupa diri. Ibu bapa entah ke mana.
Sedangkan semasa kecil dahulu bagai menatang minyak yang penuh ibu bapa menjaga dan memelihara sehingga kita menginjak dewasa.
Oleh itu, mana yang patut kita utamakan selepas Allah dan Rasul?
Kekasih hati atau ibu bapa kita?
Situasi 1:
Mak: Minah, masakkan nasi goreng untuk mak. Mak lapar nak. Teringin benar makan masakan kamu.
Minah: Laa, Minah penat ni.
Mak: Hmm..Alahai anak aku.
****
Mamat: Sayang, abang laparlah. Tiba-tiba terasa nak rasa masakan sayang. Harini masaklah untuk abang, boleh?
Minah: Boleh B. Sekarang jugak ayang masak (dengan tersenyum).
Mamat: Sayang awak lebih (gaya miang).

Situasi 2:
Mak: Minah, janganlah keluar malam-malam. Tak elok. Anak dara keluar malam. Apa kata dek orang nanti. Nanti jadi apa-apa kat kamu, siapa yang susah, mak jugak.
Minah: Mak ni membebel je. Orang bukan pergi mana pun, nak jumpa mamat kejap je. Hish!
Mak: Alahai anak aku.
****
Mamat: Yang, abang hari ni duk jauh, ada kerja kat KL. Sayang kat kampung tu janganlah keluar malam-malam pulak. Waktu abang tak ada ni, jaga diri ye sayang.
Minah: Baiklah B, I ikut cakap you. Love you.

Situasi 3:
Mak: Minah, kenapa pakai baju ketat melekat ni? Malu mak tengok. Bahaya nak pakai macam ni, nanti orang lelaki gatal buat kacau.
Minah: Mak ni bising la. Orang taulah apa orang buat. Mak, orang dah masakla dengan perangai lelaki kat luar sana.
Mak: Alahai anak aku.
****
Mamat: Yang, you pakai jean and baju seksi ni cantik tau. Tergoda i tapi i harap you pakai macam ni depan i je boleh? Jangan pakai depan lelaki-lelaki lain, bahaya yang.
Minah: Ops, ye ke you tergoda? Hehehe. Ok B. I akan pakai depan you je. Mulai hari ni, I akan ubah penampilan I demi you.

Situasi 4:
Mak: Minah, Mak rasa kamu kahwin je la dengan si mamat tu cepat-cepat. Muak mak tengok keluar dengan jantan tanpa ikatan, melayan call dari jantan bukan mahram. Mak tak berkenan dengan gaya kamu nak.
Minah: Mak ni kan, suka sangat tak puas hati dengan gaya hidup orang. Tau la mak jeles!
Mak: Alahai anak aku.
****
Mamat: Yang, tak sabar pulak rasanya nak kahwin dengan sayang. Jom kita kahwin nak? (Ajak-ajak ayam)
Minah: Weeee..I pun tak sabar nak kahwin dengan you, esok jugak I sanggup kahwin dengan you.
Situasi 5:
Mak: Hari-hari mak tengok minah bersembang dan bermesej dengan Mamat. Cakap pulak romantik. Nak, kita bercakap dengan lelaki bukan mahram dalam telefon macam tu tak elok nak.
Minah: Mak ni kan, tolonglah faham. Jangan sibuk urusan orang boleh tak? Orang cintakan Mamat. Biarlah, tau la zaman mak dulu tak ada handphone!
Mak: Alahai anak mak.
****
Mamat: Betul la. Abang tak ada perempuan lain, sumpah abang tak tipu!
Minah: B tipu, I nampak you jalan dengan betina tu! Tipu!!!
Mamat: Dahla, kalau tak percaya sangat putus jelah hubungan! Tak payah call-call and mesej-mesej dah!
Minah: ??????
-The End-

Maka, di manakah keberkatan kita andai pesanan mak dan ayah tidak dituruti. Tetapi, pesanan kekasih hati terlalu diikutkan sangat, inilah pengakhirannya.
Oleh itu, kita fikirkanlah sendiri. Adakah kita mendambakan kehidupan yang bahagia atau merana?
Ingatlah, redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa. Bukan pada kekasih hati.


Friday, 30 September 2011

Hebatnya Kesan Media Atas Kanak-kanak...oleh ustaz fathi yusuf


Ibu bapa perlu sedar bahawa media cetak dan elektronik ini mampu memberi kesan berganda, berbanding nasihat lisan yang kita berikan saban hari. Bahkan media yang penuh tarikan ini jauh lebih digemari dan memberi impak kuat berbanding leteran si ibu yang menyakitkan telinga.
Imej-imej yang terpapar lengkap dengan warna-warni akan tercetak dalam minda anak-anak dan mampu mempengaruhi pembentukan jiwa. Imej bergerak dalam internet, televisyen atau filem—secara sedar atau tidak—akan mencorakkan watak dan perangai anak-anak.
Apatah lagi, game komputer, yang melibatkan psiko-motor anak-anak semasa mengendalikannya akan memberikan kesan panjang kepada minda dan kelakuan mereka. Jika permainan itu memerlukan mereka berwatak ganas dan sadis, maka watak itu mungkin terbawa-bawa dalam kehidupan seharian.
Media perosak ini sangat mudah melunturkan iman dan menghakis ketekunan ibadah. Maksiat-maksiat dalam bentuk zina mata ini menyebabkan kemanisan ibadah hilang dan mendorong mereka melakukan kemungkaran yang lain pula.
Kegilaan kepada hiburan melampau dan ketagihan kepada keseronokan tanpa batas akan melontarkan remaja dan anak-anak ke gaung keruntuhan akhlak. Alangkah sayangnya! Anak-anak yang asalnya putih bersih, dicemari dengan media yang merosakkan ini.
Bagi anak-anak yang sedang menuntut ilmu, tentunya media yang melalaikan ini akan menghilangkan fokus mereka kepada belajar. Masa belajar semakin sempit gara-gara banyak masa dibazirkan dengan menonton TV, filem, mengadap internet atau bermain game.
Lebih parah lagi jika mereka sudah pandai berjinak-jinak dengan cinta monyet akibat terpengaruh dengan media. Penyakit angau orang bercinta di bangku sekolah bukan sahaja boleh meruntuhkan iman dan akhlak bahkan boleh menggelapkan masa depan mereka.
Bahkan lebih jauh lagi, pengaruh media jahat ini bisa merosakkan remaja dan kanak-kanak sehingga melakukan maksiat dan jenayah. Gejala maksiat hari ini seperti khalwat, dan zina banyak didorong oleh peranan media yang membudayakan maksiat seperti itu.
Hari ini rancangan televisyen, termasuk terbitan tempatan memaparkan pergaulan bebas, lelaki wanita bukan muhrim tinggal serumah, anak luar nikah, dan perempuan simpanan sebagai fenomena biasa dan semacam tidak berdosa. Akibatnya anak-anak terikut-ikut dengan budaya ini, terutamanya jika tiada pedoman dari ibu dan bapa.
Paparan ganas pula mampu mendorong anak-anak membuat jenayah. Gejala rogol, samun, rompak, culik dan bunuh sedikit sebanyak didorong oleh pengaruh media perosak.
Hakikat sepatutnya menyedarkan pemerintah, pengamal media, penyedia bahan, pengendali media, guru dan ibu bapa perlu menggandakan keprihatinan bagi mengatasi kemelut ini.
Demikianlah betapa kuatnya kesan media kepada anak-anak. Insyaallah dalam penulisan berikutnya kami akan kongsikan beberapa cadangan untuk menghadapi cabaran hebat ini. Mudah-mudahan perkongsian ini dapat membuka jalan barakah dari Allah supaya anak-anak kita semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.