Friday, 30 September 2011

Hebatnya Kesan Media Atas Kanak-kanak...oleh ustaz fathi yusuf


Ibu bapa perlu sedar bahawa media cetak dan elektronik ini mampu memberi kesan berganda, berbanding nasihat lisan yang kita berikan saban hari. Bahkan media yang penuh tarikan ini jauh lebih digemari dan memberi impak kuat berbanding leteran si ibu yang menyakitkan telinga.
Imej-imej yang terpapar lengkap dengan warna-warni akan tercetak dalam minda anak-anak dan mampu mempengaruhi pembentukan jiwa. Imej bergerak dalam internet, televisyen atau filem—secara sedar atau tidak—akan mencorakkan watak dan perangai anak-anak.
Apatah lagi, game komputer, yang melibatkan psiko-motor anak-anak semasa mengendalikannya akan memberikan kesan panjang kepada minda dan kelakuan mereka. Jika permainan itu memerlukan mereka berwatak ganas dan sadis, maka watak itu mungkin terbawa-bawa dalam kehidupan seharian.
Media perosak ini sangat mudah melunturkan iman dan menghakis ketekunan ibadah. Maksiat-maksiat dalam bentuk zina mata ini menyebabkan kemanisan ibadah hilang dan mendorong mereka melakukan kemungkaran yang lain pula.
Kegilaan kepada hiburan melampau dan ketagihan kepada keseronokan tanpa batas akan melontarkan remaja dan anak-anak ke gaung keruntuhan akhlak. Alangkah sayangnya! Anak-anak yang asalnya putih bersih, dicemari dengan media yang merosakkan ini.
Bagi anak-anak yang sedang menuntut ilmu, tentunya media yang melalaikan ini akan menghilangkan fokus mereka kepada belajar. Masa belajar semakin sempit gara-gara banyak masa dibazirkan dengan menonton TV, filem, mengadap internet atau bermain game.
Lebih parah lagi jika mereka sudah pandai berjinak-jinak dengan cinta monyet akibat terpengaruh dengan media. Penyakit angau orang bercinta di bangku sekolah bukan sahaja boleh meruntuhkan iman dan akhlak bahkan boleh menggelapkan masa depan mereka.
Bahkan lebih jauh lagi, pengaruh media jahat ini bisa merosakkan remaja dan kanak-kanak sehingga melakukan maksiat dan jenayah. Gejala maksiat hari ini seperti khalwat, dan zina banyak didorong oleh peranan media yang membudayakan maksiat seperti itu.
Hari ini rancangan televisyen, termasuk terbitan tempatan memaparkan pergaulan bebas, lelaki wanita bukan muhrim tinggal serumah, anak luar nikah, dan perempuan simpanan sebagai fenomena biasa dan semacam tidak berdosa. Akibatnya anak-anak terikut-ikut dengan budaya ini, terutamanya jika tiada pedoman dari ibu dan bapa.
Paparan ganas pula mampu mendorong anak-anak membuat jenayah. Gejala rogol, samun, rompak, culik dan bunuh sedikit sebanyak didorong oleh pengaruh media perosak.
Hakikat sepatutnya menyedarkan pemerintah, pengamal media, penyedia bahan, pengendali media, guru dan ibu bapa perlu menggandakan keprihatinan bagi mengatasi kemelut ini.
Demikianlah betapa kuatnya kesan media kepada anak-anak. Insyaallah dalam penulisan berikutnya kami akan kongsikan beberapa cadangan untuk menghadapi cabaran hebat ini. Mudah-mudahan perkongsian ini dapat membuka jalan barakah dari Allah supaya anak-anak kita semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Wednesday, 21 September 2011

Batas Dalam Membantu Manusia...


Kita semua ada sifat mahu menolong. Itu baik. Manusia bersifat tidak sempurna. Bantu membantu akan menjadikan hidup ini lebih baik dan indah. Kita juga adakalanya memerlukan pertolongan orang lain dalam melakukan sesuatu hal yang bukan kepakaran kita.
Demikian pula sebaliknya. Maka sifat ingin menolong dijadikan Allah dalam diri manusia sebagai bukti keadilan Allah yang Maha Adil.Apabila kita melihat seseorang dalam kesusahan atau punya kekurangan, ada terasa ingin membantu dan mengisi kekurangan itu. Maka kita bantu sehingga kekurangan itu hilang dan orang lain akan merasa bahagia.
Namun dalam membantu juga ada batas yang perlu dilihat dan diambil perhatian. Orang yang membantu tidak bolah memudaratkan diri sendiri ketika bantuan sedang diberi. Jika kita sedar diri sedang terisiko dalam memberi bantuan, eloklah menghindarkan diri dan bantulah dalam lingkungan kemampuan kita.
Kerana mudarat yang kita dapat semasa memberi bantuan mungkin boleh merosakkan diri dan akhirnya kita tidak boleh lagi memberi bantuan bukan sahaja pada seorang individu, malah kepada individu lain.
Sebagai contoh, kita mengambil situasi keselamatan dalam sebuah kapal terbang, Anak kapal akan sentiasa mengingatkan ciri-ciri keselamatan semasa berada dalam keadaan kecemasan. Semasa memakai alat bantuan pernafasan, penjaga perlu memakaikan alat itu pada dirinya dahulu sebelum membantu orang yang berada dalam jagaannya.
Kita lihat hal ini seperti mementingkan diri sendiri, tetapi inilah cara yang paling efektif supaya penjaga itu boleh terus membantu orang yang di bawah jagaan mereka. Jika ada apa-apa berlaku kepada penjaga tersebut akibat mementingkan orang dibawah jagaannya, tentulah terputus bantuan penjaga ini terhadap mereka di bawah jagaannya dan mudarat ini adalah lebih besar.
Manusia yang paling suka membantu yang pernah kita dengar adalah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW melihat ummatnya dalam keadaan jahil dan mahu membantu ummatnya kembali ke jalan Ilahi semampu beliau.
Rasulullah SAW sanggup melakukan apa jua cara asalkan ummatnya faham apa yang disampaikannya. Sehingga sampai satu tahap Musyrikin Mekah mahu membuat perjanjian dengan Rasulullah SAW untuk bertukar agama buat dalam satu tempoh. Rasulullah hampir bersetuju dengan pertukaran ini kerana secara logiknya mungkin pihak Musyrikin akan merasai kebenaran agama Islam semasa mereka menganut Islam dalam masa yang telah ditetapkan.
Namun Allah SWT yang maha bijaksana dan sentiasa memelihara Nabi SAW sebagai kekasihNya memberi jawapan dan menurunkan surah Al-Kafirun sebagai jawapan tegas kepada tawaran musyrikin Mekah. Bagimu agamamu dan bagiku agamaku.
Jadi dapat kita lihat terdapat batas yang perlu diambil kira dalam membantu manusia. Selagi mana bantuan itu tidak memudaratkan diri dan tidak menjadi maksiat kepada Allah, kita boleh membantu. Tetapi jika bantuan itu membuatkan kita hanyut dan semakin jauh dari Allah SWT, eloklah kita hindarkan dan serahkanlah kepada Allah sebagai sebaik-baik pembantu. Bak kata pepatah "Buat baik berpada-pada".
"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya." (Al-Ma'idah : 2)